NORAZMAN menunjukkan lantai simen Anjung Selera Majlis MPAG yang runtuh akibat hakisan di pantai Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru.
NORAZMAN menunjukkan lantai simen Anjung Selera Majlis MPAG yang runtuh akibat hakisan di pantai Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru.
Hassan Omar


KAWASAN anjung selera Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Pantai Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat sini, diancam risiko roboh akibat runtuhan lantai berhampiran tembok penahan ombak, Khamis lalu.

Empat unit kedai di anjung berkenaan dibimbangi mengalami nasib sama jika dilanda ombak besar yang menyebabkan hakisan pada kaki tembok penahan ombak bangunan itu.

Peniaga, Norazman Khairuddin, 40, berkata, lantai simen bersaiz empat meter panjang dan 1.5 meter lebar itu mulai runtuh sedikit demi sedikit sejak pagi Khamis lalu.

“Lama-kelamaan hakisan itu membentuk runtuhan lubang sedalam dua meter berikutan pasir pantai di bawah lantai dihakis ombak kuat.

“Kami bimbang jika tiada langkah pencegahan diambil, runtuhan lantai akan merebak ke gerai kami yang terletak satu meter dari kawasan lubang itu,” katanya di sini, semalam.

Yang Dipertua MPAG, Zamzuri Ariffin berkata, Pegawai Bahagian Jabatan Kejuruteraan MPAG sudah meninjau lokasi kejadian dan mendapati runtuhan berpunca daripada hakisan di bahagian bawah dan sisi tembok.

DUA gerai di Anjung Selera MPAG di pantai Telok Gong masih beroperasi walaupun sebahagian lantai simen runtuh.
DUA gerai di Anjung Selera MPAG di pantai Telok Gong masih beroperasi walaupun sebahagian lantai simen runtuh.

“Bagaimanapun, tiada keretakan dikesan pada bangunan gerai dan tembok di bahagian luar adalah jenis konkrit berserta cerucuk.

“Manakala, tembok di bahagian dalam pula adalah jenis rubble wall,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun MPAG membuat penilaian kos bagi menjalankan kerja pembaikan dan meminta orang ramai tidak memasuki kawasan runtuhan yang sudah dipasang tali pita kuning sebagai langkah pengawasan.

Anjung selera itu dibuka kira-kira 13 tahun lalu. menempatkan empat unit gerai tetapi hanya dua beroperasi dan menjadi tumpuan kerana pemandangannya yang cantik pada waktu matahari terbenam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:30 AM