ANTARA kenderaan mewah dan import didakwa kenderaan lelong kastam yang ditawarkan oleh  suspek kepada mangsa dengan harga kurang RM10,000.
ANTARA kenderaan mewah dan import didakwa kenderaan lelong kastam yang ditawarkan oleh suspek kepada mangsa dengan harga kurang RM10,000.
Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Mengaku pegawai kastam yang berperanan sebagai ‘orang dalam’ untuk urusan jual beli kereta lelong daripada agensi berkenaan.

Itu helah seorang wanita berusia 40-an untuk menipu mangsa dengan menawarkan harga murah tidak masuk akal bagi kenderaan import dan mewah iaitu kurang RM10,000.

Seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Sya, 28, berkata, dia mengenali wanita itu melalui kenalannya awal tahun lalu.

“Wanita itu memaklumkan dia adalah orang dalam kastam yang boleh menguruskan penjualan kereta lelong hasil sitaan agensi berkenaan dengan harga murah.

“Tawaran itu menyebabkan saya tertarik untuk membeli sebuah Honda HRV pada harga RM9,000 dan motosikal berkuasa tinggi Ducati dengan harga RM3,000,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sya berkata, dia mula membuat pembayaran bagi dua kenderaan itu secara berperingkat berjumlah RM10,000 melalui lapan transaksi bermula Mac hingga Mei lalu.

“Sepanjang tempoh itu, dia memberi banyak alasan supaya saya membayar kos tertentu dengan mendakwa bayaran dilakukan untuk orang tengah termasuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Bagaimanapun, saya menyedari ditipu selepas kenderaan dijanjikan tidak juga dihantar. Malah, dia juga seolah-olah cuba mengelak apabila gagal dihubungi sehingga kini,” katanya yang membuat dua laporan polis di Kulim, Kedah dan USJ, Selangor.

Sementara itu, seorang lagi mangsa hanya mahu dikenali sebagai Mas, 39, berkata, dia kerugian RM124,000 selepas mahu membeli 13 kenderaan mewah pelbagai model termasuk Toyota Alphard, Toyota Harrier, Toyota Estima dan Range Rover daripada wanita berkenaan.

“Saya mengenali wanita itu melalui pekerja yang turut membeli kenderaan ditawarkan pada Jun 2017. Pada mulanya saya tidak berminat untuk membeli kenderaan terbabit, namun percakapannya amat meyakinkan.

“Malah, wanita itu juga mendakwa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan orang kenamaan termasuk daripada pihak kastam dan JPJ. Saya turut menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu memperkenalkan diri sebagai orang kenamaan itu,” katanya.

Mas berkata, dia membuat pembayaran kepada wanita itu melalui pemindahan wang ke akaun miliknya serta beberapa individu lain menerusi lebih 20 transaksi sejak Jun 2017 hingga Februari lalu.

“Saya mula curiga terhadap wanita itu selepas dia asyik meminta wang yang didakwa untuk kos pelbagai urusan, namun kenderaan dibeli tidak dihantar sehingga kini.

“Saya sedar ditipu apabila dia tidak dapat dihubungi lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada Mei tahun lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, ramai individu lain tampil mendakwa turut menjadi mangsa penipuan wanita itu selepas status dimuat naiknya di Facebook mengenai perkara berkenaan tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:50 AM