KARNIVAL Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran JPJ Pulau Pinang.
KARNIVAL Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran JPJ Pulau Pinang.
Shamsul Munir Safini


SEBERANG JAYA: Laris ibarat goreng pisang panas. Itu yang boleh digambarkan apabila 150 buku lelong berharga RM100 sempena Karnival Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, habis pada hari pertama ia dijual.

Apakan tidak, kerana lelongan seumpama ini yang pertama kali dilakukan menawarkan pelbagai kenderaan mewah bernilai ratusan ribu ringgit seunit, namun dijual dengan harga bidaan bermula RM700 hingga RM13,000 pada 24 April ini.

Bagi penggemar kereta mewah, pelbagai model ditawarkan antaranya Audi, BMW, Mazda RX8, Honda Integra, Mini Cooper, Subaru Impreza dan Mercedes Benz yang dijual dengan harga lebih murah dan pasti akan membuatkan mereka rambang mata.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, sebanyak 100 daripada 303 kereta mewah tanpa pemilik yang sah itu disita pihaknya dan akan dilelong kepada orang ramai.

Beliau berkata, semua 100 kereta yang akan dilelong pada tarikh berkenaan sudah melalui proses mahkamah dan mendapat kelulusan untuk dilelong serta berada dalam keadaan baik.

“Semua 303 kenderaan ini tiada pemilik atau dalam erti kata lain ia dibawa masuk secara haram ke negara ini sebelum ditahan dan diambil tindakan oleh JPJ.

“Kenderaan ini adalah kereta import yang tidak berdaftar dengan JPJ dan diambil tindakan sejak 2016 hingga 2018,” katanya.

Mohamat Johari berkata, harga rizab tertinggi yang ditawarkan ialah RM13,000 bagi Toyota Estima dan terendah pula ialah RM700 bagi Nissan Sentra.

Katanya, semua kenderaan ini juga sudah didaftar semula dan mempunyai nombor pendaftaran masing-masing.

Menurutnya, memang ramai yang menyambut baik karnival ini sejak ia mula dihebahkan minggu lalu sehingga buku lelongan yang mengandungi spesifikasi kenderaan dan beberapa perkara lain berkaitan proses lelongan berharga RM100 habis dijual.

“Buku lelongan baru akan ditambah, kerana cetakan 150 naskah sebelum ini laris pada hari pertama ia dijual.

“Kita berharap orang ramai bersabar dan tidak mengikut emosi untuk menyertai program lelongan ini, kerana semua individu yang berminat boleh membeli buku lelongan itu kelak,” katanya.

Mohamat Johari berkata, orang ramai perlu membeli buku lelongan terlebih dulu dan tarikh pemeriksaan semua kereta ini ialah dari 5 hingga 23 April ini sebelum proses lelongan dilakukan pada 24 April.

Beliau berkata, pembida juga dinasihatkan membuat bayaran deposit RM1,000 bagi setiap kereta yang ingin dibida dan sekiranya kalah dalam bidaan wang itu akan dipulangkan.

“Orang ramai yang tidak menyelidik lebih lanjut beranggapan bahawa kereta dijual dengan harga rizab yang ditawarkan, namun sebenarnya ia boleh meningkat sehingga 100 peratus bergantung kepada biadaan.

“Mereka yang menang membida diminta untuk membuat bayaran 25 peratus daripada harga bidaan sebelum bakinya diselesaikan dalam masa tujuh hari selepas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 7:00 AM