Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Meskipun sudah dituduh di mahkamah kerana melakukan penipuan, seorang wanita ternyata tidak serik apabila dikesan aktif menipu beberapa kenalan bermodalkan helah menjual barangan daripada pihak kastam pada harga murah tidak masuk akal.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wahdaniah, 43, berkata, dia mengenali wanita berusia 46 tahun itu semasa mereka bersama-sama menjadi sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Johor Bahru, Johor pada 2021.

"Selepas mengenalinya, dia menawarkan untuk menjual barangan elektronik pada harga murah mendakwa barang berkenaan adalah rampasan daripada pihak kastam.

"Dia menjual telefon bimbit, komputer riba, televisyen dan lain-lain barang elektronik pada harga serendah RM300 mengikut jenama menyebabkan saya tertarik membeli lima peranti dan empat televisyen.

"Wanita itu mendakwa barangan itu diperolehi daripada bapa saudaranya yang juga pegawai tinggi bergelar Tan Sri dalam Jabatan Kastam," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, wanita itu juga menawarkan kereta dijual dengan harga murah iaitu masing-masing RM7,000 dan RM8,000 bagi kereta sedan serta kenderaan pacuan empat roda yang didakwa masih baharu.

"Keseluruhannya, saya sudah menyerahkan wang berjumlah RM42,090 kepadanya sama ada ke akaun bank miliknya, individu lain serta sebuah syarikat sejak Jun 2021 hingga Januari 2023.

"Setakat ini, dia sudah menyerahkan semula wang saya itu yang juga hasil simpanan lebih RM17,000 selepas asyik didesak sepanjang tempoh itu dengan baki RM24,590 lagi belum dilunaskan," katanya.

Wahdaniah yang juga suri rumah berkata, dia menyedari ditipu wanita itu selepas barangan dibeli pada harga murah berkenaan tidak diserahkan kepadanya sehingga kini.

"Sampai sekarang, saya tidak dapat satu pun barang yang dibeli menyebabkan saya sering mendesaknya untuk memulangkan semula wang.

"Baru-baru ini, saya mendapat tahu bahawa dia pernah ditahan polis sebelum ini kerana melakukan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kastam.

"Pendedahan itu menyebabkan saya nekad untuk membuat laporan di Balai Polis Scientex, Seri Alam, Johor pada 26 Disember lalu selepas bertahun-tahun menjadi mangsa pembohongan wanita berkenaan," katanya.

DATUK Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
DATUK Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan polis menerima dua laporan berkaitan suspek yang dibuat di Johor pada tahun ini.

Beliau berkata, terdapat enam kertas siasatan dibuka berkaitan penipuan wanita itu antara 2016 hingga 2020 di Selangor, Kelantan serta Johor dengan ada tangkapan dibuat dan kes dituduh di mahkamah.

"Ada beberapa kertas siasatan masih dalam siasatan, manakala bagi kes yang sudah dituduh di mahkamah pula, suspek sudah membayar semula wang kepada pengadu," katanya ketika dihubungi.

Ramli berkata, dua laporan polis baharu yang diterima pihaknya itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

"Memang ada dalam kalangan masyarakat yang dipanggil 'con artist' yang memperdaya ramai mangsa yang belum mengetahui latar belakang mereka.

"Golongan ini akan menggunakan pelbagai taktik bagi mempengaruhi mangsa supaya terjerat dengan helah mereka termasuk menawarkan harga murah yang tidak masuk akal," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa waspada sekiranya ditawarkan harga tidak sepadan dengan barang dan nilai semasa.

"Mana-mana pihak mahupun individu yang menjadi mangsa penipuan suspek diminta tampil membuat laporan polis supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Saya yakin ada lagi mangsa (penipuan wanita itu) di luar sana yang tidak tahu mereka ditipu dan masih menunggu janji ditunaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:47 PM