AYDA masih meneruskan karier lakonan seperti biasa.
AYDA masih meneruskan karier lakonan seperti biasa.
Norhayati Nordin


MESKIPUN sibuk mempromosikan single baharu berjudul Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti), Ayda Jebat masih meneruskan karier lakonan seperti biasa.

Bergandingan dengan Shukri Yahaya, mereka tampil selaku teraju utama drama adaptasi novel Asalkan Dia Bahagia untuk Slot Akasia TV3.

Membawa watak Adira Imani, Ayda bagaimanapun dilihat mengambil langkah ‘berjaga-jaga’ ketika menjayakan babak mesra bersama aktor kacak itu.

Berbicara mengenai perkara itu, Ayda menegaskan tiada istilah ‘berjaga-jaga’ atau mengambil ‘jalan selamat’ sebaliknya dia dan Shukri sepakat mahukan sesuatu yang berbeza bagi merealisasikan karakter Adira dan Haris Aryan.

“Sebenarnya saya dan Shukri, kami saling bekerjasama memberikan yang terbaik untuk watak masing-masing.

“Bagi kami, babak mesra tidak semestinya perlu bersentuhan atau berpelukan. Sudah banyak drama kami jayakan dan majoritinya tidak jauh berbeza dengan Asalkan Dia Bahagia. Jadi kenalah cipta sedikit kelainan dalam penyampaian,” katanya.

Ayda yang popular menerusi drama Rindu Awak 200 Peratus dan Maid bersama Zul Ariffin berkata sudah tiba masa untuknya persembahkan sesuatu yang baharu.

Ujarnya, dia dan Shukri tidak mahu mengulangi gerak tubuh sama seperti yang pernah dilakonkan dalam drama terdahulu hanya untuk menampilkan babak mesra dan intim.

“Ada banyak cara untuk mempersembahkan babak mesra dan intim tanpa aksi sentuhan yang ekstrem sesama pelakon.

“Terus terang, saya dan Shukri profesional dalam bekerja malah kami sudah lama dalam bidang ini. Alhamdulillah, kami tahu apa yang boleh dibuat dan apa yang perlu dielak ketika penggambaran,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini, penonton menerima baik gandingannya dengan Shukri.

Malah, Ayda terharu dengan komen positif penonton mengenai persembahannya.

“Setakat ini maklum balas penonton terhadap drama ini sangat positif. Malah, ratingnya juga bagus.

“Bahkan, menerusi komen penonton di platfrom media sosial seperti Instagram (IG) dan Tweeter juga menunjukkan sokongan yang bagus.

“Alhamdulillah, rasanya belum nampak lagi komen negatif mengenai kerjasama saya dengan Shukri,” katanya.

Diterbitkan sebanyak 28 episod, karya adaptasi novel tulisan Hani Fazuha itu diarahkan sutradara berkaliber, Jamal Khan.

Selain Ayda dan Shukri, drama itu turut dibintangi Idris Khan, Nadiyah Shahab, Safura Ya’cob, Rahhim Omar, Esma Dainal, Marissa Yasmin, Datin Fadilah Mansor, Sheila Mambo dan Syazuwan Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 9:42 AM