NORASIAH (kiri) bersama suami, Abdul Manan bercerita mengenai ibunya, Gayah yang terlantar sakit tua kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang datang melawatnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NORASIAH (kiri) bersama suami, Abdul Manan bercerita mengenai ibunya, Gayah yang terlantar sakit tua kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang datang melawatnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


"SELEPAS kematian arwah ayah ketika berusia 12 tahun, ibu yang menjaga saya dan sembilan adik-beradik lain, sekarang giliran saya pula menjaga ibu," kata Norasiah Ismail ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Kudat, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

Kesediaan Norasiah, 43, bersama suaminya, Abdul Manan Abdullah, 52, menjaga ibunya, Gayah Embung, 92, yang mengalami penyakit tua dan terlantar sejak enam tahun lalu harus dipuji dan dijadikan contoh.

Norasiah berkata, dia berasa bertuah kerana dapat menjaga dan menguruskan ibunya yang terlantar kerana penyakit tua itu.

"Semua kenalan ibu sudah meninggal dan ibu ialah penduduk yang paling berusia yang masih hidup di kampung ini.

"Selagi ibu masih bernafas, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaganya dan saya bertuah kerana suami seorang yang memahami dan turut sama membantu.

"Ibu terlantar sejak diserang demam panas enam tahun lalu dan sampai sekarang ibu diuruskan sepenuhnya oleh saya dan suami," katanya.

Menurut Norasiah, ibunya terpaksa memakai lampin pakai buang selain meminum susu khas yang disarankan pihak hospital.

"Tidak susah untuk menguruskan ibu yang terlantar itu cuma apabila ingin mandikannya saya memerlukan bantuan suami untuk mengangkatnya ke bilik mandi," kata anak bongsu daripada 10 beradik itu.

Katanya, terlalu banyak pengorbanan ibu ketika menjaganya dan adik-beradik lain sejak kematian bapa, Ismail Tahir.

"Ibu tidak pernah berkahwin sejak kematian ayah dan hanya sibuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anaknya.

"Sekarang saya ingin menjaga ibu sebaik mungkin sehingga ke akhir hayatnya," katanya.

Sementara itu, Abdul Manan berkata, dia berpuas hati kerana dapat berkhidmat dan menjaga ibu mentuanya itu sebaik mungkin.

"Sebagai menantu, menjaga ibu mentua yang sakit juga ialah sebahagian daripada kewajiban dan tanggungjawab kepada keluarga.

"Tugas saya membantu isteri untuk mengangkat ibu ke bilik air atau membawanya ke hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:40 PM