DAREN jumpa Kashyap pada pusingan kedua esok. FOTO: Syarafiq Abd Samad
DAREN jumpa Kashyap pada pusingan kedua esok. FOTO: Syarafiq Abd Samad
Saiful Affendy Sapran

PEMAIN perseorangan profesional negara, Liew Daren membuktikan sensasi China, Lin Dan bukan lagi kebal apabila menundukkan juara dunia lima kali itu pada pusingan pertama Terbuka Korea Selatan di Incheon, hari ini.

Daren yang menduduki ranking ke-33 dunia, menewaskan pemain bergelar ‘Super Dan’ itu 21-19, 21-14 dalam tempoh 43 minit sekali gus kemenangan pertamanya daripada tiga pertemuan dengan pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu.

“Hari ini saya beraksi dengan baik berbanding beberapa kejohanan sebelum ini.

“Harap saya dapat meneruskan aksi konsisten ini kerana keadaan diri saya juga tidak baik sebab selesema.

“Saya tak fikir banyak mengenai perlawanan ini tapi hanya cuba mempamer permainan lebih menyerang," katanya.

Pada pusingan kedua esok, Daren akan bertemu pemain India, Kashyap Parupalli.

Turut mara ke pusingan kedua perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.

Pemain berusia 21 tahun itu nyata tidak berdepan masalah menewaskan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 21-7, 21-15.

Beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 16-21, 21-13, 21-16 dalam tempoh 46 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 6:21 PM