PEMAIN beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Wooi Yik Soh layak beraksi di Kejohanan Dunia di Nanjing, China. FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Wooi Yik Soh layak beraksi di Kejohanan Dunia di Nanjing, China. FOTO Eizairi Shamsudin
Fabian Peter


BEREGU muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui bagai sedang bermimpi apabila mendapat berita mereka layak beraksi di Kejohanan Dunia di Nanjing, China bermula 30 Julai hingga 7 Ogos depan.

Perkhabaran positif itu jelas memberi motivasi terbaik buat pasangan berkenaan apabila mereka berjaya mengesahkan slot ke pusingan kedua Terbuka Singapura selepas menewaskan Mandiraju Anilkumar Raju-Venkat Gaurav Prasad 21-16, 21-16 dalam aksi pusingan pertama, hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang masing-masing berusia 21 dan 20 tahun mula digandingkan sejak November tahun lalu dan kini percaya gandingan mereka mampu menggegar dunia.

“Musim ini bagai mimpi buat kami. Kami mara ke final dalam tiga kejohanan, saya dapat mewakili skuad negara pada Piala Thomas, Mei lalu dan sekarang kami akan beraksi pada Kejohanan Dunia.

“Kami tidak jangka kami boleh beraksi di Kejohanan Dunia. Saya fikir kunci utama kejayaan kami adalah disebabkan faktor usia, disebabkan kami masih muda, kami tidak berasa tertekan.

“Kami sentiasa bersemangat setiap kali memasuki gelanggang dan matlamat utama kami adalah mahu melakar kejutan ke atas pasangan utama dunia,” kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik layak ke Kejohanan Dunia susulan penarikan diri beberapa pasangan negara lain yang diumumkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Liew Daren dan Chong Wei Feng masing-masing cemerlang apabila melepasi halangan pusingan pertama.

Daren yang akan beraksi di Nanjing mengejutkan pilihan ketiga kejohanan, Wong Wing Ki dari Hong Kong 21-14, 21-16 dan bakal berdepan Ihsan Maulana Mustofa dari Indonesia, esok.

Wei Feng pula menundukkan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 21-16, 12-21, 22-20 dan akan berdepan Pannawit Thongnuam dari Thailand di pusingan kedua. Turut layak ke pusingan kedua ialah beregu wanita, Vivian Hoo-Goh Yea Ching.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:20 PM