GIANG tercampak ke dalam longkang selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan ketika mengiringi Raja Permaisuri Agong di Jalan Semarak, Kuala Nerus, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
GIANG tercampak ke dalam longkang selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan ketika mengiringi Raja Permaisuri Agong di Jalan Semarak, Kuala Nerus, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Norizuan Shamsuddin


ANGGOTA polis trafik yang mengiringi Raja Permaisuri Agong cedera selepas motosikal ditungganginya terbabas merempuh pembahagi jalan dekat lampu isyarat Taman Semarak, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mangsa, Koperal Giang Anak Balok, 28, anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu cedera di muka, lengan kanan, lutut kanan dan bahagian belakang badan akibat kemalangan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, kejadian berlaku sewaktu anggota terbabit menjalankan tugas mengiringi kenderaan dinaiki Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Jalan Tengku Mohamad.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Taman Semarak menghala ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan sedang bergerak dari lorong kanan.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkuasa tinggi model Honda CBX 750 ditunggang mangsa terbabas melanggar pembahagi jalan dan anggota terbabit tercampak ke dalam longkang di tengah pembahagi jalan berkenaan.

“Susulan kejadian mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kejadian itu tular di media sosial apabila beberapa gambar kemalangan itu tersebar.

Malah, gambar terbabit turut memaparkan Raja Permaisuri Agong mencemar duli bagi membantu mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:30 PM