AKSI berani mati kanak-kanak yang dirakam semalam. FOTO ihsan pembaca
AKSI berani mati kanak-kanak yang dirakam semalam. FOTO ihsan pembaca
Siraj Mohd Zaini


SEKUMPULAN kanak-kanak dan remaja dirakam melakukan aksi berani mati menuruni Jambatan Ke-3 Klang atau Jambatan Raja Muda Nala, Klang dengan basikal lajak semalam.

Video berdurasi 21 saat itu dirakam seorang lelaki menaiki lori yang menggunakan jambatan sepanjang 2.5 kilometer itu sehingga ke susur Sungai Udang/Telok Pulai.

Menerusi rakaman itu, terdapat sekumpulan kanak-kanak dan remaja menunggang basikal dengan melakukan aksi berbahaya sehingga berada sangat hampir dengan lori berkenaan.

Rakaman itu tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam dan menerima pelbagai komen yang rata-ratanya mempersoalkan peranan ibu bapa serta pihak berkuasa menangani aktiviti tidak berfaedah itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Pihak JSPT sudah mengarahkan pegawai dan anggota menjalankan pemantauan dan tindakan berhubung kes berkenaan.

“Tindakan sekumpulan kanak-kanak dan remaja berkenaan sangat berbahaya kepada diri mereka serta pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan, lokasi terbabit bukan kali pertama dijadikan trek basikal lajak kerana sebelum ini pihak polis sudah berkali-kali menjalankan Op Basikal Lajak bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:41 PM