AHMAD  bersama Mohd Haziq  selepas hari pertama peperiksaan UPSR, semalam.
AHMAD bersama Mohd Haziq selepas hari pertama peperiksaan UPSR, semalam.
Ravale Savarinathan


TELUK INTAN: “Ibu sering menasihati supaya belajar rajin-rajin dan mahu saya mendapat keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” kata Mohd Haziq Ahmad, 12.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Haji Hassan, Changkat Petai, Tapah Road, dekat sini, anak ketiga Faridah Md Nayen, 38, wanita sarat mengandung yang maut dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat, di sini, kelmarin.

Mohd Haziq berkata, ibunya bersungguh-sungguh mahukannya melakukan yang terbaik untuk mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR bermula semalam.

“Saya akan cuba sebaik mungkin menunaikan harapan arwah.

“Saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu hari ini (semalam) namun tetap kuatkan semangat kerana ingin menunaikan hasrat arwah ibu.

“Seluruh warga sekolah termasuk guru dan rakan juga mengucapkan takziah dan mereka memberi kata-kata semangat untuk saya hadapi dugaan ini dan menumpukan perhatian dalam peperiksaan,” katanya, semalam.

Katanya, dia pasti merindui ibunya yang sering menyediakan sarapan setiap hari untuknya dan adik-beradik lain.

FARIDAH
FARIDAH

“Sarapan yang ibu sediakan paling saya gemari adalah nasi goreng dan air milo,” katanya.

Sementara itu, bapanya Ahmad Ismail, 45, berkata, dia reda dengan pemergian arwah dan akan menjaga semua empat anak berusia tujuh, 12, 13 dan 15 tahun.

“Walaupun masih bersedih dengan kehilangan orang tersayang, saya kuatkan semangat demi anak terutama Mohd Haziq yang menduduki UPSR hari ini (semalam).

“Saya nasihatkan dia banyak bersabar dan beri semangat untuk menjawab soalan,” katanya yang menghantar dan menjemput Mohd Haziq ke sekolah, semalam.

Katanya, ketika kejadian Allahyarham Faridah dalam perjalanan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan bulanan kandungan dengan menumpang kenderaan jirannya yang turut maut dalam kemalangan itu.

“Saya reda dan terima kehendak Tuhan. Kami menunggu kelahiran anak kelima namun Tuhan lebih menyayangi mereka dan anak itu turut meninggal dunia dalam kandungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:50 AM