GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Farhani Che Ad


KANAK-KANAK lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia selepas ditemui tergantung berhampiran katil di rumahnya di Taman Nenas di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kejadian disedari adik perempuan kanak-kanak itu yang berusia lapan tahun sekitar 6.30 petang.

“Ketika kejadian ibu mangsa berada di ruang tamu rumah dan mangsa sedang bermain dengan abangnya berusia 14 tahun dan adik perempuannya di sebuah bilik di rumah mereka.

“Kira-kira 15 minit kemudian, adik perempuannya itu memberitahu ibu mereka bahawa mangsa sudah tergantung berhampiran dengan katil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusuf berkata, apabila ibunya masuk ke dalam bilik terbabit, mangsa sudah pun berada terlentang di atas tilam kerana abang mangsa sudah memotong tali yang menjerutnya.

“Pegawai perubatan Hospital Kulim dipanggil dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal menemui tali kasut di lantai katil tingkat atas dan mangsa berada di katil bawah jenis ‘double decker’.

Menurutnya, polis mendapati tiada unsur jenayah yang dapat dikesan pada badan mangsa dan di tempat kejadian.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

“Kes klasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Difahamkan mangsa yang juga murid sebuah sekolah di kawasan berkenaan sepatutnya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 8:29 PM