HOSPITAL Sultan Abdul Halim. FOTO Google Maps
HOSPITAL Sultan Abdul Halim. FOTO Google Maps
Aizat Sharif


BELUM ada keperluan untuk mewujudkan hospital khas bagi wanita dan kanak-kanak di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kerajaan negeri melihat keperluan untuk mewujudkan hospital berkenaan masih belum sampai waktunya.

"Namun begitu, satu kajian akan dilakukan untuk melihat keperluan mewujudkan hospital khas itu pada masa depan kerana sehingga kini hospital khas wanita dan kanak-kanak yang dirancang untuk dibangunkan di Hospital Sultanan Bahiyah (HSB) yang terletak di daerah Kota Setar.

"Di HSB, kita memang ada perancangan untuk membina hospital wanita dan kanak-kanak namun belum ada keperluan untuk dibangunkan di HSAH.

"Namun kerajaan negeri akan melihat semula serta mengkaji untuk keperluan masa depan dalam mewujudkan hospital itu dan kita akan rujuk dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

LEONG Yong Kong berbahas di Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-13. FOTO Sharul Hafiz Zam
LEONG Yong Kong berbahas di Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-13. FOTO Sharul Hafiz Zam

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr R Krishnamoorthy (PKR-Bukit Selambau) berkenaan cadangan mewujudkan hospital khas wanita dan kanak-kanak di HSAH, Sungai Petani dalam mesyuarat kedua penggal kelima sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13, di Wisma Darulaman, di Alor Setar, hari ini.

Yong Kong turut menjawab soalan asal Krishnamoorthy berkenaan usaha menaiktaraf HSAH, di mana antaranya adalah permohonan pembinaan bangunan Pusat Jagaan Harian di tapak hospital lama Sungai Petani dengan kos RM200 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"HSAH kini mempunyai sejumlah 628 katil dan 21 wad dengan kesesakan biasanya berlaku di wad perubatan dalaman, perbidanan dan sakit puan serta wad kanak-kanak.

"Namun kita harus melihat pada pelan induk pembangunan HSAH ini kerana ia sudah dirancang termasuk dalam mewujudkan pusat jagaan harian di mana pesakit tidak perlu lagi dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan kecil, rawatan kimoterapi bagi pesakit kanser serta pemindahan darah.

"Malah, pihak pengurusan HSAH juga sudah merancang menambah satu wad baru di Hospital Sungai Petani lama pada 2018 dan 2019," katanya.

Tambahnya, projek hospital kluster yang direncanakan juga akan dijalankan antara HSAH bersama Hospital Sik dan Hospital Yan bermula tahun ini.

"Keperluan ini akan membuatkan pesakit dari daerah Sik dan Yan tidak perlu lagi dimasukkan ke HSAH kerana pakar perubatan sendiri akan melawat ke dua hospital terbabit.

"Selain itu juga, mutu perkhidmatan di dua hospital terbabit akan ditingkatkan dengan latihan berterusan kepada pegawai perubatan dan kakitangan paramedik serta penambahan alatan perubatan serta kelengkapan dewan bedah," katanya.

Foto: Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 5:18 PM