AIMAN dah penat membujang.
AIMAN dah penat membujang.
Syafil Syazwan Jefri


KEPUTUSAN menamatkan zaman bujang bukanlah mudah kerana ia memerlukan persetujuan bersama. Ia juga membabitkan keluarga masing-masing dan tentunya restu mereka paling penting bagi memastikan perjalanan menuju ke alam rumah tangga lancar.

Bagi pasangan selebriti, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson, sedar tak sedar perkenalan sejak tiga tahun lalu akhirnya bakal menyatukan mereka menjelang Februari tahun depan.

Mereka sudah bersiap sedia dan cukup mengenali hati budi masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Bagi Aiman, kehadiran Zahirah dalam hidupnya umpama satu anugerah besar yang sentiasa dinantikannya.

“Saya mula mengenalinya sejak tiga tahun lalu, namun mula rapat pada November tahun lalu. Jadi, November lalu saya mula keluar dengannya selama tiga hari berturut-turut dan pada hari ketiga, saya melamarnya,” katanya.

Membuka sesi temu ramah dengan senyuman bahagia, Aiman berkata, Zahirah adalah wanita yang bakal melengkapi kehidupannya.

“Ketika bertemu dengan dia, saya sudah mula rasa sesuatu yang berbeza. Terdetik dalam hati saya, ‘dia adalah orangnya’.

“Jujur, sejak mula kenal dan rapat, kehidupan saya jadi lebih produktif, positif dan masa beredar dengan sangat pantas,” katanya.

AIMAN dan Zahirah mengikat tali pertunangan 8 Jun lalu.
AIMAN dan Zahirah mengikat tali pertunangan 8 Jun lalu.

Menurut Aiman, pada usia 30 tahun dia inginkan cabaran baharu dalam kehidupan.

“Saya sudah penat menjadi remaja dan orang muda. Saya rasa sudah cukup untuk berseronok bersama teman dan melakukan pelbagai hal yang dilakukan orang bujang.

“Meningkatnya usia, saya mahukan cabaran lain dalam kehidupan dan sahut cabaran untuk bergelar suami serta ketua rumah tangga. Selain itu, sekarang pun saya lebih selesa lakukan hal yang lebih matang,” katanya.

Bagi Zahirah pula, dia sendiri sudah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental sekali gus mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Ibu berpesan kepada saya supaya tidak berkahwin terlalu awal kerana dia berkahwin pada usia 19 tahun. Apabila memasuki usia 24 tahun, saya luahkan hasrat untuk berkahwin dan dia restui permintaan itu,” katanya.

Walaupun bakal menamatkan zaman bujang, itu tidak menghalang Zahirah meneruskan cita-citanya.

“Dalam karier, saya akan terus meneroka pelbagai perkara baharu. Saya tak mahu sekadar berada dalam dunia lakonan semata-mata kerana nak cuba lakukan pelbagai benda baharu,” katanya.

AIMAN bersama Zahirah MacWilson selepas sidang media di Ara Damansara. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria.
AIMAN bersama Zahirah MacWilson selepas sidang media di Ara Damansara. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria.

CABARAN DALAM CINTA

Dalam menjalani hubungan cinta, tentunya ada pelbagai cabaran yang tidak diduga lebih-lebih lagi selepas bertunang.

Kata orang, tempoh bertunang adalah paling banyak cabaran dan itu diakui sendiri Aiman dan Zahirah.

“Untuk saya, cabaran bermula ketika menjelang hari pertunangan kami. Bayangkan, semuanya daripada tiket penerbangan sehingga visa anggota keluarga sudah disiapkan.

“Namun, visa ibu bapa saya masih tidak diluluskan sedangkan hanya tinggal lagi dua hari sebelum kami terbang ke Perth, Australia untuk majlis pertunangan,” kata Aiman.

Menurut Aiman, dia terpaksa meminta bantuan pelbagai pihak untuk membantunya.

“Saya cuba hubungi sesiapa saja yang boleh membantu, bahkan, saya bercerita juga kepada penyambut tetamu di tempat untuk membuat visa ke Australia itu.

“Jadi, nak dijadikan cerita, sehari sebelum majlis pertunangan, keluarga saya diberitahu visa ibu bapa saya sudah diluluskan dan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bagi Zahirah, cabaran terbesar buatnya adalah untuk menyatukan kedua-dua ibu bapanya dalam satu majlis.

“Semua sedia maklum, ibu bapa saya sudah bercerai dan satu cabaran untuk menyatukan mereka pada majlis pertunangan saya. Namun, atas beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, ayah tak dapat hadir.

“Saya faham kerana dia ada hal di Malaysia dan sudah memberi restu kepada saya dan Aiman untuk teruskan dengan majlis pertunangan kami pada Jun lalu,” katanya.

Itu adalah antara cabaran besar buat kedua-dua merpati dua sejoli ini. Yang pasti, Aiman dan Zahirah yang kini sering menggunakan tanda pagar, #zahirAH sedang mencari tarikh bersesuaian untuk diijabkabulkan.

“Apabila sudah ada tarikh yang muktamad, kami akan kongsikan dengan semua rakan media serta peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 6:00 AM