Seorang lelaki meninggal dunia akibat cedera parah selepas dipukul sekumpulan individu di Rantau Panjang. - Foto hiasan
Seorang lelaki meninggal dunia akibat cedera parah selepas dipukul sekumpulan individu di Rantau Panjang. - Foto hiasan
Ryan Stanley


LELAKI parah selepas kepalanya dipukul dengan tukul kerana masalah hutang di kuarters pekerja sebuah tapak pembinaan di Putatan, Penampang, kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 30 tahun dikatakan mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan dalaman di dada.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa dan suspek adalah warga asing dan ketika kejadian mangsa didatangi oleh suspek yang ingin menagih hutang.

Bagaimanapun katanya, mereka berselisih faham kerana mangsa gagal membayar hutang selepas diberi tempoh selama tiga hari.

“Mangsa yang cuba beredar kemudian dipukul secara tiba-tiba dari arah belakang dengan menggunakan tukul oleh suspek.

“Akibat dipukul, mangsa jatuh manakala suspek melarikan diri bersama isterinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haris berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

“Polis kini sedang mengesan suspek terbabit dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 2:40 PM