GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ryan Stanley


BUDAK lelaki tujuh tahun maut selepas dilanggar pacuan empat roda dipandu oleh bapanya di Jalan Tambunan-Penampang, dekat Kampung Tadong Adong, Penampang, semalam

Ketika kejadian jam 2 petang itu, bapa mangsa yang berusia 39 tahun secara tidak sengaja melanggar kanak-kanak itu ketika sedang mengundurkan kenderaan terbabit.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebelum kejadian, bapa mangsa mahu pulang ke rumah mereka di Kampung Kibunut, Penampang, dari kebunnya di Kampung Tadong Adong.

Beliau berkata, mangsa yang berada di dalam kenderaan itu dikatakan keluar dan naik di ruang belakang pacuan empat roda jenis Isuzu itu.

Katanya, bapa mangsa kemudiannya mahu mengundurkan kenderaan untuk keluar dari kebun sebelum terpaksa memberhentikan kenderaan kerana keadaan jalan yang tidak rata.

“Mangsa dipercayai membuka pintu kenderaan dan bergegas keluar lalu terus menaiki bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Selepas melihat anaknya sudah berada di bahagian ruang belakang, dia kemudian mengundur kenderaan untuk keluar dan tiba-tiba terdengar bunyi seperti melanggar sesuatu.

“Lalu dia keluar dan terkejut apabila anaknya terbaring di atas jalan dan muntah darah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, bapa mangsa kemudian terus menghantar anaknya ke Unit Kecemasan QEH sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor, pada 3.27 petang.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh sebelum dilanggar bapanya secara tidak sengaja.

“Polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 2:28 PM