JAINAL  menulis Warkah Persilaan  di Galeri Seni Khat Pusat Islam Iskandar Johor.
JAINAL menulis Warkah Persilaan di Galeri Seni Khat Pusat Islam Iskandar Johor.
BERNAMA

SEPERTI yang dikisahkan dalam kitab Melayu lama, contoh Tuhfat Al-Nafis dan Sulalatus Salatin, apabila sesuatu surat hendak disampaikan kepada raja-raja, ia dilakukan dengan penuh tertib dan kemegahan.

Utusan penyampai surat pula bukanlah calang-calang orang iaitu terdiri daripada mereka yang menjadi kepercayaan raja.

Pada zaman ini, di mana penggunaan telefon pintar, aplikasi WhatsApp atau e-mel yang hanya mengambil masa mungkin tidak sampai satu saat untuk menyampaikan sesuatu maklumat, mengutus surat, apatah lagi menyampaikan sendiri dengan menggunakan tangan, sudah dipandang tidak relevan oleh masyarakat.

Percaya atau tidak, amalan tradisi ini sebenarnya masih diamalkan dalam institusi diraja negara ini.

Satu daripadanya ialah amalan mengutuskan Warkah Persilaan sebagai contoh Warkah Persilaan bagi mengundang Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri untuk mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini.

Tradisi yang dimulakan sejak istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama negara iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad masih dikekalkan hingga sekarang.

Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, sebagaimana yang diamalkan pada zaman dahulu, warkah terbabit juga ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi yang cantik dan bahasanya adalah bahasa Melayu.

Menurut beliau warkah terbabit menggunakan bahasa tradisi di antara raja-raja yang menitikberatkan penghormatan kepada baginda sultan yang lebih tua dan dalam masa yang sama menggunakan panggilan hormat untuk baginda sultan yang lebih muda.

“Dan dalam warkah ucapan ini juga terselit sembah ucapan doa dengan bahasa yang tertib dan baik, bukan hanya maklumat,” katanya.

Beliau berkata, Warkah Persilaan kali ini direka sendiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Baginda turut menitahkan supaya dicetak jata negeri di atas warkah terbabit sebagai lambang kesatuan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Azuan Effendy berkata, utusan menyampaikan Warkah Persilaan terbabit terdiri daripada wakil Istana Negara iaitu beliau sendiri, wakil daripada Jabatan Perdana Menteri dan wakil daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Mereka diketuai Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang dilantik menjadi pengerusi bagi acara-acara sempena istiadat pertabalan.

“Kita berusaha sebaik mungkin untuk menghadap ke bawah duli baginda secara penuh tertib dan santun, untuk menyembahkan warkah ini dengan penuh adat istiadat,” katanya.

Semasa dipersembahkan kepada Sultan, warkah terbabit digulung dan diletakkan di dalam bekas berbentuk silinder berwarna emas dan ditatang dengan dulang yang juga berwarna emas.

Menurut beliau di sesetengah negeri baginda Sultan memperkenan supaya warkah dibacakan di hadapan baginda.

“Seorang daripada kami di dalam utusan akan membacakan warkah ini secara berhadapan dengan Duli Tuanku.

“Ini juga tradisi dahulu di mana pembawa utusan akan membacakan warkah,” katanya.

Sementara itu, penulis khat Abdul Baki Abu Bakar, 45, memberitahu, menulis khat pada warkah persilaan perlu pada ketelitian dan sikap hati-hati.

Beliau yang berasal dari Sik, Kedah berkata, proses terbabit perlahan kerana penulis perlu memastikan kuantiti dakwat yang digunakan bertepatan dan dakwat tidak tumpah ke atas kertas.

Berikutan kertas yang digunakan berkualiti tinggi dan dicetak dengan reka bentuk tertentu dengan saiz ruang yang ditetapkan untuk diletakkan tulisan khat, penulis tidak boleh membuat sebarang kesilapan.

Selain terhad, ciri kertas turut memberi cabaran kepada penulis kerana ada kertas yang sesuai untuk percetakan tetapi kurang sesuai untuk tulisan tangan dan sebaliknya.

Adakalanya beliau perlu berkompromi apabila kertas yang dipilih pihak Istana yang disifatkan beliau ‘kurang sedap’ untuk menulis khat.

Kandungan warkah juga berbeza bagi setiap jemputan dari segi pangkat gelaran dan panjang teks.

“Contohnya kalau (Sultan) yang dijemput lebih muda, digunakan Paduka Adinda, kalau yang dijemput lebih tua digunakan Paduka Kekanda, kalau pangkat ayah digunakan Paduka Ayahanda, di samping nama permaisuri dan nama istana yang khas.

“Semua itu nak kena teliti dan hati-hati.

“Bagi setiap Sultan itu pula mempunyai pangkat yang berbeza, jadi kepanjangan teks bergantung juga pada panjang pangkat setiap Sultan,” jelas beliau yang mula menulis khat untuk istiadat pertabalan Agong sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Oleh sebab itu, menurutnya, penyediaan draf awal sangat penting kerana pada peringkat draf penyusunan teks tulisan secara terperinci dilakukan.

Beliau menambah jenis tulisan khat yang biasa digunakan untuk Warkah Persilaan ialah khat Nusukh dan Tuluth.

Selain warkah persilaan, Abdul Baki juga menulis khat untuk Warkah Ikrar, Watikah Perlantikan dan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong.

 AZUAN Effendy (kanan) menunjukkan Warkah Persilaan bagi mengundang Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri untuk mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini.
AZUAN Effendy (kanan) menunjukkan Warkah Persilaan bagi mengundang Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri untuk mencemar duli ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini.

USTAZ JAINAL PILIHAN PERMAISURI

Seorang lagi pakar tulisan khat yang terlibat dalam penulisan warkah persilaan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini ialah Jainal Sakiban, 72, atau turut dikenali sebagai Ustaz Jainal.

Berasal dari Batu Pahat, Johor dan kini bertugas secara kontrak sebagai Setiausaha Kerja, Majlis Agama Islam Johor, Ustaz Jainal dititahkan Raja Permaisuri Agong untuk menyumbangkan kepakaran beliau.

Beliau merupakan guru agama Raja Permaisuri Agong, selain pernah berkhidmat dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang pada masa itu Raja Muda Johor, pada awal 1980-an.

Antara lain Ustaz Jainal berpengalaman menulis warkah persilaan perkahwinan Raja Permaisuri Agong dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan surat nikah baginda berdua, menulis warkah persilaan perkahwinan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, selain menulis khat untuk buku agama, logo dan lain-lain.

Menurut beliau cabaran menghasilkan khat ialah pada menentukan mata pen yang sesuai dengan panjang teks dan ruang warkah yang ditetapkan.

“Ini memakan masa untuk mencari mata pen yang sesuai dan membuat draf sama ada ruang yang disediakan mencukupi dengan teks yang disediakan,” katanya.

Kesilapan juga sering berlaku pada pangkat gelaran yang digunakan, dan jika tertinggal satu perkataan satu-satu warkah itu terpaksa dibuat semula.

“Ia terpaksa dibuat semula di mana setiap satu warkah mengambil masa tiga jam. Terkadang tertinggal perkataan Tun saja pun terpaksa dibuat semula,” katanya.

Azuan Effendy berkata, untuk istiadat pertabalan kali ini, selain daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Yang di-Pertuan Agong juga menitah perkenaan untuk mengutus jemputan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Putera Ali Al-Hussein dari Jordan.

“Bagi kedua-dua putera ini, formula yang sama digunakan iaitu dengan tulisan jawi dan juga dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Warkah itu diselaraskan oleh pihak Kementerian Luar Negeri untuk dialih bahasa kepada bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

“Yang penting, bagi saya, ialah untuk kita menunjukkan kepada tetamu-tetamu luar negara bagaimana cara kita memberi persilaan pada raja-raja iaitu dengan penuh tertib, penuh seni, dan kita gunakan tulisan warisan kita iaitu tulisan Jawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:20 AM