RADHI selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, hari ini. FOTO Rohanis Shukri.
RADHI selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, hari ini. FOTO Rohanis Shukri.
Nor Azura Abdul Jalil


IKATAN perkahwinan penyanyi kumpulan OAG, Radhi dan isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri akhirnya terlerai selepas pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, hari ini.

Hakim Syarie Husaini Roslin memutuskan demikian selepas mendapati lafaz yang diucapkan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali (defendan), 41, terhadap Nur Shahira Ayu atau Ayu, 25, (plaintif) pada 25 Mac lalu adalah sah dan mengikut syarak.

Husaini kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam daerah Petaling dan sijil nikah dibatalkan.

“Mahkamah meluluskan tuntutan plaintif berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Mahkamah mensabitkan lafaz yang dibuat di luar dan tanpa kebenaran mahkamah pada 25 Mac lalu, jam 4.20 pagi adalah sah dan jatuh talak rajie,” katanya.

Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk Radhi membuat sumpah nafi susulan keterangannya kepada mahkamah pada tarikh lalu bahawa dia tidak mengingati lafaz yang dibuat kepada Ayu pada hari kejadian.

Sumpah nafi ialah sumpah yang perlu dibuat seseorang individu bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah menjatuhkan sesuatu keputusan.

Terdahulu, di awal prosiding, ketika disoal mahkamah adakah Radhi masih konsisten dengan keterangannya seperti tarikh lalu atau ada pindaan, penyanyi itu berkata,

“Bukan saya nafi (melafazkan cerai) cuma saya tak ingat sama ada saya lafaz perkataan cerai, lepas, blah dan chow. Tapi saya memang ada cakap, namun tak pasti,” katanya.

Husaini berkata, walaupun tidak ingat satu perkataan, Radhi masih perlu melafazkan sumpah nafi kerana Ayu masih konsisten dengan dakwaannya bahawa Radhi melafazkan 'Aku cerai kau dengan talak satu'.

Selepas mendengar penerangan mahkamah, Radhi kemudian mengubah fikiran dan akhirnya bersetuju dengan dakwaan yang dikemukakan Ayu.

Ayu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu pada 3 Jun lalu.

Pasangan itu masing-masing tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:36 PM