WIDY dan anggota kumpulan Gerhana Skacinta menunjukkan kematangan mereka dalam Konsert Minggu Ini.
WIDY dan anggota kumpulan Gerhana Skacinta menunjukkan kematangan mereka dalam Konsert Minggu Ini.
Ridzuan Abdul Rahman


PADA Februari lalu, kumpulan ska popular, Gerhana Ska Cinta (GSC) berjaya menggegar Singapura menerusi konsert di Esplanade Concert Hall, di sana. Sabtu lalu, GSC menggegar Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur pula dalam Konsert Minggu Ini yang turut disiarkan secara langsung di TV2 RTM.

Konsert sempena ulang tahun ke-20 mereka berjaya menarik kehadiran peminat yang hadir memenuhi setiap ruang di Auditorium Perdana.

Anggota asal GSC iaitu Edy (gitar, penyanyi), Widy (penyanyi), Rejab (trombone, trumpet, perkusi), Fairuz (keyboard) dan Bakri (dram) serta anggota baru, Pedd (penyanyi), Skaloot (bass), Farin (tenor seksofon), Zul (trumpet) dan Nadzmi (alto seksofon) tampil dengan formula menarik bagi menghiburkan peminat.

ANTARA aksi hebat mereka.
ANTARA aksi hebat mereka.

Menerusi persembahan selama sejam 30 minit itu, GSC membawakan 15 lagu gabungan lama dan baru iaitu Ion Chaney, Perusak Chenta, Time Will Tell, Rindu, Do The Skalypo, The Of The Past, Takkan Melepaskanmu dan Temanku.

Tidak ketinggalan lagu Brand New Day, medley Asmara, Ratu, Andai, Is There Any Soul in You Music, Mimpi, Hidup Ini dan Senyuman Ragamu.

Sepanjang persembahan, penonton juga tidak ketinggalan turut sama menyanyikan lagu mereka. Apa yang menarik, penonton turut diberi peluang menari di bawah pentas, namun menepati peraturan yang ditetapkan.

PEDD, vokalis kedua GSC turut menyerlah.
PEDD, vokalis kedua GSC turut menyerlah.

Malah, konsert ini turut menjadi sohor kini (trending) dalam kalangan penonton malam itu. Selain GSC, Andi Bernadee turut ditampilkan sebagai artis undangan dengan menyampaikan lagu Donde dan Satu Peluang.

Widy berkata, mereka berpuas hati dapat menjayakan konsert terbitan Sarena Mohd Salleh dan Tengku Intan Freya sebagai penolong penerbit.

“Mereka beri kami kebebasan dari segi pemilihan lagu. Untuk itu, banyak idea diketengahkan apabila lagu Temanku diiringi strings quartet, manakala lagu Hidup ini dibantu kumpulan vocal Eximious.

“Konsert kami turut dimeriahkan dengan hadiah tajaan Kelipan Store & Jeggae Garment untuk pakaian terbaik dan beberapa penonton yang ‘sporting’,” katanya.

Menurutnya, persembahan GSC turut diiringi tarian oleh rakan peminat dari Klangvalley Floorshakers dan Singapore Floorshakers.

PERSEMBAHAN meriah dan berwarna-warni dibawakan oleh Gerhana Skacinta khas untuk peminat setia mereka.
PERSEMBAHAN meriah dan berwarna-warni dibawakan oleh Gerhana Skacinta khas untuk peminat setia mereka.

“Vespa yang menghiasi pentas adalah ihsan daripada Modernflashbacksc. Pengacara untuk pembukaan pula Fuad Weller dari Kuala Lumpur Soul,” katanya.

Widy berkata, sebelum konsert bermula, mereka sebenarnya amat gementar terutama dengan kehadiran Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.

Bagaimanapun, mereka gembira kerana program berkenaan berjaya mencipta sohor kini dan menjadi salah satu kenangan manis untuk GSC.

KONSERT Minggu Ini secara langsung di TV2 turut jadi sohor kini dalam kalangan penonton.
KONSERT Minggu Ini secara langsung di TV2 turut jadi sohor kini dalam kalangan penonton.

Sementara itu, Sarena selaku penerbit berkata, dia berpuas hati dengan perjalanan konsert dan berterima kasih kepada GSC serta peminat yang memastikan ia berjalan dengan lancar.

“Kami lihat muzik ska ada keunikan tersendiri dan ini usaha RTM menampilkan genre berbeza bagi memenuhi selera peminat,” katanya.

Sabtu ini, Konsert Minggu Ini akan menampilkan kumpulan OAG serta artis undangan Diana Danielle dan Arif Bahran.

Program terbitan Oja Kismilardy ini juga akan berlangsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri dan akan disiarkan secara langsung menerusi tv2 pada jam 9 malam hingga 10.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:30 AM