TIGA kembar lelaki yang menjadi perhatian di media sosial selepas gambar mereka tular, Hambal Aismat (kiri), Haikal Ajmal (tengah) dan Iqbal Amzar. FOTO Ihsan Haikal Ajmal Bukhory
TIGA kembar lelaki yang menjadi perhatian di media sosial selepas gambar mereka tular, Hambal Aismat (kiri), Haikal Ajmal (tengah) dan Iqbal Amzar. FOTO Ihsan Haikal Ajmal Bukhory
Faliq Lajim


“KADANG-KADANG saya pun keliru dengan pasangan kembar jika tengok dari sudut tepi dan belakang. Apatah lagi, orang lain yang melihat kami,” kata Haikal Ajmal Bukhory, 24.

Haikal Ajmal memberi reaksi itu selepas gambarnya bersama dua lagi pasangan kembar iaitu Iqbal Amzar (kembar sulung) dan Hambal Aismat (kembar kedua) yang dimuat naik di laman sosial mendapat perhatian netizen.

Rata-rata netizen mengagumi wajah seiras mereka bertiga yang cukup sukar dibezakan, tambahan pula hanya melihat mereka pada rakaman gambar.

Menceritakan pengalamannya, Haikal Aimal berkata, dia pernah sekali menggunakan kelebihan memiliki wajah yang hampir sama iaitu bertukar tempat dengan seorang daripada kembarnya kerana mahu pergi ke tandas.

“Ketika itu, saya mahu membuang air kecil, namun takut untuk memberitahu guru yang sedang mengajar di depan berikutan dia agak garang.

“Saya dan Iqbal berada di dalam kelas yang sama, manakala kelas Hambal terletak di sebelah. Kebetulan, saya nampak Hambal baru saja balik dari tandas.

“Terus saya panggil dia menggunakan pintu belakang dan tukar secara senyap-senyap. Sekembalinya saya dari tandas, rakan di dalam kelas yang nampak telatah kami kemudiannya tergelak, termasuk guru yang garang tadi,” katanya yang tinggal di Shah Alam.

Gambar Haikal Ajmal, Hambal Aismat dan Iqbal Amzar ketika kanak-kanak. FOTO Ihsan Haikal Ajmal Bukhory
Gambar Haikal Ajmal, Hambal Aismat dan Iqbal Amzar ketika kanak-kanak. FOTO Ihsan Haikal Ajmal Bukhory

Haikal Ajmal berkata, dia dan dua lagi kembarnya itu turut berkongsi perasaan yang sama tidak kira gembira mahupun sedih.

“Apabila saya berasa sedih, Iqbal dan Hambal akan turut rasa perkara yang sama. Mereka kemudiannya akan berjumpa dan bertanya keadaan saya begitu juga sebaliknya.

“Begitu juga jika demam, apabila saya demam pada hari ini, Iqbal dan Hambal akan demam pada hari yang seterusnya,” katanya yang turut memperoleh keputusan sama iaitu 5A ketika dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya lagi, dia dan Iqbal Amzar kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, manakala Hambal Aismat pula berada di kampus Puncak Alam dalam jurusan reka bentuk dalaman.

“Kami tidak pernah berpisah sehingga melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma selepas habis SPM.

“Ketika itu, saya dan Iqbal ditempatkan di Pulau Pinang dan Hambal pula di Seri Iskandar, Perak.

“Waktu itu memang agak sedih berikutan ia adalah kali pertama kami berpisah. Namun, lama kelamaan kami sudah terbiasa dengan situasi itu dan menghubungi setiap hari melalui aplikasi Whatsapp,” katanya.

Kisah tiga lelaki itu menjadi tular di Twitter selepas Haikal Ajmal memuat naik status dan empat keping gambar bersama dua lagi kembarnya pada 1996, 1999, 2015 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 9:41 PM