KEBAKARAN rumah kedai di Jalan Pekan Salak Selatan,  pagi semalam.
KEBAKARAN rumah kedai di Jalan Pekan Salak Selatan, pagi semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KUALA LUMPUR: “Hasil jualan nombor ekor semalam (kelmarin) saya simpan di dalam peti besi namun habis musnah dijilat api,” kata pemilik kedai nombor ekor yang hanya mahu dikenali sebagai Yow, 56.

Kedai milik Yow antara dua premis musnah dalam kebakaran yang turut mengakibatkan warga emas berusia 70-an ditemui rentung di Jalan Pekan Salak Selatan di sini, jam 6.15 pagi semalam.

Yow berkata, dia terkejut apabila lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) yang tinggal berseorangan di tingkat atas premis terbabit ditemui rentung.

“Saya tahu dia (mangsa) tinggal bersendirian, tetapi tidak terlalu mengenali lelaki itu dan saya memang terkejut apabila diberitahu dia ditemui rentung oleh anggota bomba.

“Kebakaran itu hanya disedari apabila diberitahu rakan sebelum bergegas ke kedai dan mendapati hasil jualan turut musnah,” katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.18 pagi.

Menurutnya, seramai 50 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, BBP Seputeh serta BBP Sentul dikejarkan ke lokasi

“Premis berkenaan terbakar 80 peratus, dan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain. Pemeriksaan di tempat kejadian kemudian menemui seorang lelaki rentung.

“Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:00 AM