Bomba membawa mayat lelaki OKU yang rentung dalam kebakaran dua premis di Jalan Pekan Salak Selatan, Kuala Lumpur. FOTO ihsan bomba
Bomba membawa mayat lelaki OKU yang rentung dalam kebakaran dua premis di Jalan Pekan Salak Selatan, Kuala Lumpur. FOTO ihsan bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG lelaki warga emas ditemui mati rentung dalam kebakaran dua premis di Jalan Pekan Salak Selatan, Kuala Lumpur, pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.18 pagi.

“Dua jentera dari Balai Bomba Tun Razak, Balai Bomba Seputeh dan Balai Bomba Sentul dikejarkan ke lokasi.

“Selain itu, turut digerakkan dua lori tangki air dengan kekuatan keseluruhan 50 anggota,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas rumah yang terbakar 80 peratus itu kemudiannya menemui satu mayat lelaki rentung.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, salah seorang pemilik premis yang terbakar dikenali Yow, 56, berkata mangsa yang tinggal di tingkat atas itu juga berstatus orang kurang upaya (OKU).

Katanya, lelaki berusia 70-an itu dikatakan tinggal bersendirian dan dia tidak terlalu mengenali lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:49 PM