Siti Zarinah Sahib

Harapnya Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari lagi ini tidak dijadikan alasan bagi pesakit gastritis untuk meninggalkan puasa. Sekiranya bersungguh-sungguh ingin menunaikan rukun Islam ketiga ini, mereka seharusnya bertemu doktor untuk mendapatkan pandangan mengenai pemakanan dan ubat-ubatan yang perlu diambil ketika berpuasa.

Jika semua perkara ini diberi perhatian alasan gastrik tidak boleh diterima. Individu penghidap gastritis seharusnya dapat menjalani ibadat puasa dengan baik dan dapat bertahan sehingga tiba waktu berbuka.

Secara umumnya puasa merehatkan saluran pencernaan (usus), enzim dan hormon yang biasanya bekerja untuk mencerna makanan secara terus-menerus selama kira-kira 18 jam, kecuali tidur. Apabila berpuasa, organ penting itu dapat berehat selama lebih kurang 14 jam. Dalam jangka masa ini tiada makanan atau minuman yang masuk ke dalam sistem pencernaan.

Gastrik tidak bermakna tidak boleh berpuasa. Malah, berpuasa (atau mengosongkan perut) adalah baik untuk kesihatan secara keseluruhan. Memang orang yang ada gastrik tidak ‘tahan’ dengan keadaan perut kosong, tetapi mengosongkan perut selama 14 jam bukanlah tempoh yang lama. Menerusi nasihat doktor, pengambilan ubat-ubatan dan menjaga pemakanan memungkinkan mereka berpuasa tanpa ada sebarang halangan.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Pegawai Perubatan Hospital Pakar An-Nur, Bangi Dr Amira Nadiah Abdullah, pesakit gastrik perlu mengikut peraturan pengambilan ubat yang betul sama ada sekali atau dua kali sehari.

“Pesakit dinasihatkan mengambil ubat-ubatan sewaktu sahur, jika diberikan sekali sehari atau sewaktu berbuka dan sahur, untuk ubatan dua kali sehari. Jika perlu makan sehari sekali, bermakna ubat itu boleh memberi ‘perlindungan’ atau mengurangkan keasidan dalam perut selama 24 jam. Maknanya, dengan pengambilan ubat, pesakit boleh menjalani ibadat puasa seperti orang lain tanpa masalah.

“Bagaimanapun jika terlupa mengambil ubat, ibadat puasa masih boleh diteruskan sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan. Pesakit tidak sepatutnya menderita kerana gastrik. Ia adalah gangguan yang mudah diatasi, dengan syarat pesakit didiagnos dengan betul dan mendapat rawatan sepatutnya. Selagi gastrik belum memasuki tahap kronik atau masih dalam peringkat ringan, pesakit boleh berpuasa dengan sempurna,” katanya.

DR AMIRA
DR AMIRA

Jelas Dr Amira, gastrik atau istilah perubatan gastritis, adalah gangguan atau keradangan yang berlaku pada lapisan permukaan perut, terutama apabila bahagian perut atas (berhampiran ulu hati) berasa sakit dan tidak selesa. Sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan makanan, ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.

“Satu budaya yang selalu disalah anggap oleh pesakit gastrik adalah pengambilan ubat tahan sakit boleh mengurangkan gastrik. Sesetengah ubat tahan sakit mempunyai satu bahan kimia yang boleh mengurangkan penghasilan prostaglandin; seterusnya menyebabkan lapisan perut mudah terhakis oleh ‘asid gastrik’.

“Prostaglandin adalah sejenis bahan kimia seakan-akan hormon yang bertanggungjawab melindungi lapisan perut daripada tindakan hakisan asid gastrik (asid yang dirembeskan oleh sel di dalam perut). Apa yang terjadi kepada pesakit gastritis adalah hasil ketidakseimbangan dua faktor iaitu yang melindungi dan faktor agresif yang menyebabkan keradangan pada lapisan permukaan perut,” katanya.

Selain ubat tahan sakit, ubatan tradisional juga mempunyai komponen bahan kimia yang boleh menyebabkan penghasilan prostaglandin di perut terbantut. Pengambilan kedua-dua jenis ubatan ini boleh menyebabkan gastrik bertambah teruk.

Katanya, gastrik disebabkan bakteria pula boleh diubati dengan pengambilan antibiotik. Namun ada pesakit tidak menghabiskan ubat dan biasanya berhenti selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.

Makan secara sihat

Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau pedih ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya dan hilang selera makan. Perkara paling penting yang sering diabaikan adalah pengambilan makanan yang tidak teratur dan seimbang.

“Cara pemakanan yang tidak teratur sering kali menyebabkan gastrik menyerang. Mereka yang berpuasa disarankan mengikut amalan pemakanan yang sudah ditetapkan seperti melambatkan sahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.

“Pastikan berbuka puasa dalam kuantiti sederhana dan menjarakkan pengambilan pemakanan. Contohnya berbuka dengan kurma dan segelas air seterusnya solat Maghrib dahulu. Kemudian makan nasi separuh pinggan, ikan stim berserta sayuran dan buah-buahan. Selesai terawih, makan buah-buahan, oat atau roti,” katanya yang menggalakkan kita makan makanan yang dipanggang berbanding digoreng.

Minum air kosong sekurang-kurangnya dua liter sepanjang malam pada Ramadan, dua gelas susu atau jus buah-buahan yang tidak berasid contohnya pisang sewaktu sahur. Banyakkan makanan mengandungi karbohidrat kompleks seperti beras perang, kekacang, badam dan oat. Elakkan berbuka dengan kuantiti makanan yang banyak dan tidur selepas berbuka puasa.

ELAKKAN makanan pedas dan masam sekiranya ada gastrik.
ELAKKAN makanan pedas dan masam sekiranya ada gastrik.

Makanan yang perlu dielakkan sepanjang Ramadan:

1. Elakkan makan makanan yang mendatangkan kerengsaan pada perut seperti makanan pedas, berempah, berminyak, bergoreng dan berlemak.

2. Makanan di dalam tin - kerana kandungan asid yang tinggi

3. Minuman bergas dan beralkohol

4. Makanan yang mempunyai asid tinggi - contohnya limau, oren, tomato

5. Berhenti merokok. Asap rokok juga memberi kesan kepada lapisan pelindung dalam perut. Merokok sebenarnya menggalakkan penghasilan asid perut, melambatkan proses penyembuhan luka dan meningkatkan risiko ulser bertukar menjadi kanser.

6. Minuman yang tinggi kandungan kafein seperti teh, kopi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 2:50 AM