Anggota forensik melakukan siasatan selepas orang awam menemui mayat lelaki yang dipercayai dibunuh. FOTO Amir Irsyad Omar
Anggota forensik melakukan siasatan selepas orang awam menemui mayat lelaki yang dipercayai dibunuh. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


NASIB tidak menyebelahi seorang peniaga lelaki, 33, selepas hasratnya mempertahankan warungnya yang dipecah masuk dua lelaki berakhir dengan salah seorang daripada pencuri, terbunuh.

Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, peniaga berkenaan ditahan sejurus membuat laporan polis mengenai kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, berdasarkan keterangan suspek, sebelum kejadian dia berada di rumahnya di Seberang Jaya sebelum menerima panggilan daripada kakaknya.

Katanya, pada jam 6.12 petang kakaknya memaklumkan ada seorang lelaki sedang memanjat pagar warungnya di Jelawat 4 manakala seorang lagi lelaki berada di dalam kereta.

“Pada jam 6.15 petang tadi suspek sampai di lokasi kejadian dan ternampak seorang lelaki berkenaan sedang memasukkan perkakas dapur warung ke dalam kereta.

“Menyedari perkara itu suspek pergi ke kereta untuk menghalang dan bertindak mengambil kunci kereta,” katanya.

“Lelaki yang berada di dalam kereta itu memegang baju suspek manakala seorang lagi lelaki menerpa ke arahnya sehingga berlaku pergelutan,” katanya.

Menurut Nik Ros Azhan, suspek mendakwa tidak lama selepas itu dua lelaki berkenaan melarikan diri dengan seorang daripada mereka dalam keadaan berdarah dan memegang pemotong besi ke arah stesen minyak berdekatan.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan di tempat kejadian, polis menemui mayat mangsa terbaring di dalam longkang di hadapan stesen minyak bersebelahan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) menghala Kulim.

“Terdapat satu kesan luka di bawah dada sebelah kiri mangsa, satu luka di bahagian atas kepala dan satu lagi di pergelangan tangan kanan.

“Mangsa dikenali sebagai S Prince Jevadurai, 30, beralamat di Bertam,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 11:32 PM