HAQIEM Rusly (kanan) mempertaruhkan lagu What Can I Do For You dan Ismail Izzani dengan lagu Save Me. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
HAQIEM Rusly (kanan) mempertaruhkan lagu What Can I Do For You dan Ismail Izzani dengan lagu Save Me. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


DUA penyanyi remaja ini bukan saja popular dengan lagu masing-masing, tetapi berjaya mengumpul peminat tersendiri.

Kemunculan mereka dengan aliran muzik berbeza, Ismail Izzani, 19, mempertaruhkan genre pop dan Haqiem Rusli, 21, menerusi lagu balada, kedua-duanya mampu membuktikan bakat sebenar.

Sejak di awal kemunculan lagi, baik Ismail atau Haqiem, lagu yang dihasilkan tidak pernah gagal menambat hati pencinta muzik tempatan. Ia sekali gus membezakan mereka dengan penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) lain.

Tahun ini, mereka kembali bersaing apabila muncul dengan lagu bahasa Inggeris rancak dan mengetengahkan elemen tarian.

Ismail dengan lagu Save Me yang dilancarkan Januari lalu, manakala Haqiem menerusi What Can I Do For You yang dilancarkan tiga minggu lalu.

Timbul cakap-cakap mengatakan Haqiem yang juga pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-32 meniru muzik dan konsep muzik video lagu Ismail.

Bagaimanapun, Ismail tidak mahu mengatakan rakannya itu meniru sebaliknya menganggap muzik yang diketengahkan menjadi inspirasi untuk karya barunya itu.

“Sebenarnya alasan utama kenapa saya nak masuk industri muzik adalah saya mahu Malaysia menerima jenis muzik seperti pop, R&B, EDM dan apa saja.

“Bagi saya, perkara ini terbuka. Saya tidak mahu cakap saya yang mula, tapi sudah lama. Malah, sejak kemunculan kumpulan Sleeq lagi sudah ada lagu genre begini. Cuma, sebagai pendengar mungkin susah nak terima. Dalam industri muzik ketika itu, lagu balada saja yang mendapat sambutan.

“Jika sesiapa nak buat lagu daripada genre sama tidak mengapa. Diakui kadang-kadang terfikir soal kenapa nak tiru. Tapi, saya tidak boleh cakap orang tiru kita. Sebab, kita pun tiru orang. Ia bukan tiru, tapi inspirasi. Macam kalau buat lagu pun, kita inspirasi daripada mana-mana penyanyi,” katanya.

Ismail yang popular menerusi lagu Luar Biasa berkata, dia memilih single bahasa Inggeris kerana bakal muncul dengan album yang kebanyakannya memuatkan lagu Inggeris.

“Saya buat single Inggeris sebab dalam album baru nanti ada empat lagu Inggeris. Sebenarnya, untuk lagu Inggeris saya mahu berkongsi minat kepada umum. Walaupun radio tidak boleh terima dan mainkan, sekurang-kurangnya sekarang sudah ada platform muzik lain seperti iTunes, Joox, Spotify dan lain-lain. Jadi, saya berharap peminat boleh dengar muzik yang saya kongsikan.

“Pada awalnya, saya muncul dengan lagu Inggeris sebagai eksperimen dan nak belajar lebih lanjut. Seperti lagu Save Me, bagi saya berat. Lagu ini dipenuhi dengan muzik bukannya lirik. Diterima atau tidak, saya sudah bersedia dari awal lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail dilantik menjadi duta Setulus Ikhlas bagi program Ramadan dan Raya TV3 yang mewakili Samsung.

Ismail bersama Haqiem dan Nabila Razali baru saja merakamkan lagu Harus Memiliki Mu yang juga lagu tema Samsung Galaxy siri A.

ISMAIL dan Haqiem bersikap positif terhadap sebarang komen peminat.
ISMAIL dan Haqiem bersikap positif terhadap sebarang komen peminat.

TAK KISAH NAK KOMEN APA

Haqiem mengakui dia mendapat komen mengatakan dia meniru konsep lagu yang dipersembahkan Ismail.

Bagaimanapun, Haqiem yang popular menerusi lagu Tergantung Sepi tidak mahu melatah.

“Memang ada yang cakap mengenainya dan saya ambil sebagai pengajaran. Mungkin tempat penggambaran muzik video sama, lagu rancak dan menari. Jadi, ia kelihatan sama. Dari segi muzik, lagu Ismail agak ‘dark’ dan saya pula ceria iaitu EDM.

“Saya anggap perkara ini positif dan tidak perlu melenting pun. Kalau nak komen, tidak mengapa. Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil muzik video arahan Ghaz Abu Bakar itu,” katanya.

Menurut Haqiem, dia menghasilkan lagu Inggeris adalah untuk keluar dari zon selesa yang mana sering muncul dengan lagu balada.

“Sebenarnya, kebanyakan lagu saya adalah balada. Saya seorang yang suka mencuba, jadi kenapa tidak keluar dari zon selesa dengan menghasilkan lagu daripada muzik lain. Maka terhasillah lagu What Can I Do For You ini.

“Ia mencabar saya apatah lagi sebelum ini mendapat kritikan dari segi sebutan menerusi lagu Jatuh Bangun yang terdapat lirik bahasa Inggeris.

“Alhamdulillah, apabila keluar dengan lagu penuh Inggeris, saya menerima banyak maklum balas positif di YouTube iaitu 90 peratus termasuk yang memuji tarian. Sekurang-kurangnya ini sesuatu yang baru daripada saya. Ini strategi dalam bidang ini,” katanya.

Dalam masa sama, Haqiem berkata, lagu Inggeris itu adalah untuk kepuasan diri dan bagi memenuhi kuota dalam album kedua yang dalam proses pembikinan.

“Lagu Inggeris ini adalah kepuasan saya. Saya tahu, jika keluar lagu seperti ini stesen radio susah nak mainkan. Mungkin juga orang kita lambat nak terima. Tapi, lagu ini sekadar untuk memenuhi album.

“Lagu ini bakal dimuatkan dalam album kedua yang masih dalam proses mengumpul material. Malah, selepas ini saya menyasarkan muncul dengan single balada pula iaitu Lembah Kesepian pada bulan depan atau selepas raya,” katanya.

Ditanya adakah selepas ini dia akan muncul dengan single Inggeris lain, Haqiem berkata, bukan dalam tempoh terdekat.

“Berdasarkan sambutan diberikan, kalau nak ada lagu Inggeris lain mungkin lambat lagi iaitu tiga tahun dari sekarang. Sebab, kalau ikutkan pasaran muzik tempatan, lagu Melayu juga orang cepat terima.

“Bukan kata lagu Inggeris susah, tapi lagu Melayu lebih mudah dapat sambutan. Seperti dikatakan tadi, saya buat lagu Inggeris bukan saja untuk kepuasan diri, tapi senang kalau ada persembahan di mana-mana saya boleh nyanyikan lagu rancak dan menari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:30 AM