Nazarali Saeril dan Mohamad Fahd Rahmat

ISU hibah Tabung Haji (TH) 1.25 peratus dipolemikkan banyak pihak tanpa memahami apa sebenarnya berlaku dalam agensi yang ditubuhkan untuk membantu umat Islam di negara ini menyimpan wang bagi menunaikan haji.

TH di bawah pengurusan baru berdepan pelbagai cabaran untuk memulihkan agensi berkenaan yang kini dilihat seolah-olah tidak memihak kepada pendeposit.

Orang ramai dimomokkan kononnya TH bakal ‘tutup kedai’ sedangkan apa yang berlaku sebaliknya, malah TH kini berusaha keras mengembalikan agensi berkenaan ke landasan sebenar penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Datuk Seri Zukri Samat berkongsi dengan wartawan Metro Ahad berkaitan isu yang melanda TH.

Mengapa hibah 1.25 peratus?

Hibah yang mampu dibayar TH hanya 1.25 peratus.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, di bawah Akta TH, TH hanya boleh membayar dividen jika menyempurnakan dua kriteria iaitu TH mesti menjana untung dan kedua, aset TH mesti melebihi liabiliti.

Ketika kami ambil alih tampuk kepemimpinan TH pada Julai tahun lalu, ketika itu lagi, Jabatan Audit Negara mengatakan aset TH adalah kurang daripada liabiliti, iaitu kira-kira RM4.1 bilion, bermakna aset berkurangan dan itu setakat 31 Disember 2017.

Pada tahun lalu, keadaan pasaran yang tidak menentu dan banyak lagi perkara berlaku dalam TH.

Jurang perbezaan antara aset dan liabiliti semakin meningkat, sehingga akhir tahun lalu, ia mencecah RM10 bilion.

Jadi dengan kadar ini, jika tanpa Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan, sudah tentu kami tak mampu membayar dividen untuk tahun lalu.

Kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyokong pelan pemulihan yang kami cadangkan iaitu melalui penubuhan SPV.

Jadi apa yang berlaku kepada SPV adalah kami sudah mengambil kira terhadap semua aset yang kurang berdaya saing sama ada hartanah atau saham yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Yang mana kami mengalami kerugian besar, tetapi tiada peruntukkan dibuat dalam tahun sebelum itu, jadi kami mengambil semua aset ini yang berjumlah RM9.6 bilion yang tidak berprestasi.

Kami kemudian terpaksa menjual aset ini pada harga jauh lebih mahal untuk menutup ‘lubang’ (defisit) RM10 bilion tadi.

Jadi kerajaan, dengan penubuhan SPV, kami menjual aset tadi kepada SPV yang dimiliki penuh oleh kerajaan pada harga RM19.9 bilion.

Jadi, lebihan antara RM19.9 bilion dengan RM9.6 bilion kira-kira RM10 bilion. Oleh itu, dengan menggunakan lebihan ini, kami dapat menutup defisit TH.

Jadi, selepas pemulihan berjaya dilakukan, aset TH pada akhir tahun lalu melebihi liabiliti iaitu kira-kira RM1 bilion.

Setakat 31 Disember tahun lalu, aset TH berjumlah RM76.5 bilion dan liabiliti TH RM75.5 bilion.

Lebihan adalah RM1 bilion, walaupun pada tahun sama TH mencatat keuntungan RM1.6 bilion, tetapi lebihan aset daripada liabiliti hanya RM1 bilion.

Mengikut Akta 22 TH, maksimum jumlah hibah yang kami boleh beri kepada pendeposit adalah RM1 bilion sahaja.

Kalau kami mempunyai deposit RM74 bilion, untuk memberi hibah satu peratus ini memerlukan RM740 juta.

Jadi kami ada kelebihan RM1 bilion sahaja. Oleh itu, maksimum hibah yang boleh kami beri hanya 1.25 peratus supaya ia tidak melanggar Akta TH.

Apa masalah sebenar yang melanda TH?

Masalah sebenarnya adalah pelaburan tidak menguntungkan dan jatuh daripada harga belian. Pada masa sama, tiada peruntukan dibuat dalam akaun untung rugi TH.

Contoh, saham Felda FGV, kami beli pada harga RM4.60, masa kami masuk pada Julai tahun lalu, harganya jatuh kepada 78 sen.

Maknanya, peruntukan sepatutnya sudah dibuat, tetapi dalam buku TH, masih mengekalkan harga RM4.60, sepatutnya sudah rugi.

Saham ini sahaja pun menyebabkan TH rugi RM1.1 bilion, ia sepatutnya direkod dalam akaun TH, tetapi tidak direkodkan.

Begitu juga dengan saham lain seperti Malakoff. Kami sudah buat kenyataan umum, ketika TH beli harganya RM1.80 sen.

Kemudian, setakat Disember tahun lalu, sudah tinggal 80 sen. Ia membabitkan kerugian RM500 juta, pun tidak direkodkan dalam akaun.

Jika mengikut prinsip akaun, biasanya, kalau susut nilai 20 peratus, peruntukan mesti dibuat, tetapi tidak dibuat. Jadi ia tidak mengikut peraturan.

Pada 2017, Jabatan Audit Negara mengatakan, setiap tahun TH menukar polisi rosot nilai.

Bagi 2017 contohnya, rosot nilai ditukar dua kali bermula 75 peratus, selepas itu 85 peratus dan tiga hari kemudian, ditukar kepada 90 peratus rosot nilai.

Ini adalah langkah yang saya rasa tidak betul.

Jadi, sebenarnya, kedudukan TH sebagaimana dilaporkan juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk 2017, daripada untung RM3.4 bilion, ia sebenarnya rugi RM1.4 bilion.

Kerana perkara seperti ini dan banyak lagi benda yang tidak konsisten menyebabkan TH bermasalah.

Apa konsep digunakan pengurusan sebelum ini untuk membayar hibah?

Apabila aset TH kurang daripada liabiliti, contoh aset kami ada RM69 bilion, wang pendeposit pula RM75 bilion, contoh kalau kami mahu bayar hibah RM1 bilion lagi, datang daripada mana wang itu?

Kami terpaksa ambil duit pendeposit untuk bayar hibah dan ia jadi umpama skim ‘Pak Man Telo’, lebih kurang begitu.

Sebab menggunakan duit orang ramai, ia umpama gali lubang tutup lubang. Siapa yang bayar, pendeposit baru yang bayar. Setiap bulan, TH menerima RM400 juta melalui potongan gaji pendeposit.

Sebab apa yang kami lihat sekarang ini, hanya sebilangan kecil yang menyimpan untuk pergi haji, yang banyak adalah pelabur yang besar.

Dengan pulangan sehingga enam peratus setahun, pelabur besar ini tidak perlu bayar cukai pendapatan. Simpanan di TH juga menepati syariah, malah deposit ini dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Kalau disimpan di bank sekalipun, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) hanya menjamin setakat RM250,000 dan jika pergi ke TH, pelabur besar itu dapat kelebihan ini.

Sebab itu, kalau kami lihat statistik, kami mempunyai 9.3 juta pendeposit dengan jumlah deposit RM74 bilion.

Separuh atau RM37 bilion itu dimiliki 1.3 peratus pendeposit sahaja. Bermakna 1.3 peratus pendeposit ini orang kaya.

Kenapa menarik sebab TH beri keuntungan begitu banyak. Kalau kami letak di bank sekalipun, berapa dapat setahun, paling besar tiga hingga 3.5 peratus dan mesti simpan di bank setahun, keluar sebelum tempoh matang tak dapat.

TH hari ini masuk RM10 juta, esok keluar RM10 juta tak mengapa. TH beroperasi seperti akaun semasa, jadi anda mempunyai apa-apa sahaja yang terbaik di TH, sebab itu ramai yang suka dan berminat dengan TH.

Apa kesan pendeposit yang akan menunaikan haji?

TH sudah buat polisi, orang yang pergi haji buat kali pertama sahaja yang akan terima subsidi.

Orang yang hendak pergi haji untuk kali kedua dan hendak daftar dengan TH sudah tidak boleh.

Sebabnya, kami ada 3.2 juta orang yang sudah daftar mahu pergi haji dan ada RM1,300 dalam akaun untuk pergi haji.

TH terpaksa melakukannya kerana kasihan kepada mereka yang menunggu dan tahun ini, kami ada kuota 32,000 tempat dan kami sudah hantar surat kepada yang berjaya dan yang tak berjaya.

Malah, yang merayu sudah ada 140,000 orang. Jadi, untuk masa depan untuk isu berkaitan subsidi, kami kena bincang dengan kerajaan dan setakat tahun ini, kami masih mampu.

Subsidi ini daripada siapa?

Subsidi ini diberikan TH dan bukan daripada kerajaan. Kos subsidi ini semakin tahun semakin meningkat, ia berlaku kerana kos menunaikan haji turut bertambah.

Jadi, untuk tahun ini, RM22,920 untuk seorang dan kami masih kekalkan kos haji RM9,980, kos ini kekal sejak 2009.

Bermakna kami berikan subsidi RM12,900 untuk seorang jemaah. Jumlah subsidi untuk tahun ini dijangka RM400 juta bagi 32,200 jemaah haji.

Bagi tahun lalu, subsidi atau apa yang kami panggil sebenarnya sebagai kos tanggungan haji adalah RM300 juta.

Sebenarnya subsidi datangnya daripada keuntungan pelaburan TH.

Jika warga emas yang mahu menunaikan haji dan memerlukan peneman, bagaimana dengan kosnya?

Kami sebenarnya beri keutamaan. Dalam sistem ini, selain daripada tarikh pendaftaran, siapa lebih awal, dia lebih cepat pergi.

Kriteria lain umur seseorang itu, jika umurnya 75 tahun, kami beri keutamaan kepada dirinya dan yang menemannya.

Dan kami juga akan beri subsidi sama jika penemannya adalah pertama kali melaksanakan haji dengan TH.

Dahulu, ada peraturan jika mereka yang sudah menunaikan haji perlu menunggu selama lima tahun dan boleh mendaftar semula untuk menunaikan haji, tetapi bermula tahun ini mereka tidak boleh melakukannya lagi.

Berapa kerugian aset yang dialami TH? Apa antara aset itu?

Bagi saham sahaja, TH rugi RM9.5 bilion dan kami mengalami beberapa kerugian dalam syarikat ladang yang mana kami sudah buat peruntukan.

Dan untuk tahun lalu, peruntukan rosot nilai, kami buat RM1.5 bilion. Ia membabitkan kerugian dalam syarikat perladangan iaitu RM680 juta, hartanah kerugian RM528 juta, pembinaan kerugian RM144 juta, marin, minyak dan gas kerugian RM103 juta.

Aset ini tidak dapat dipindahkan ke SPV dan arahannya adalah, kami terpaksa pulihkan semua ini dalam tempoh sebelum 31 Disember tahun lalu kerana kami ingin menutup defisit ini sebelum akhir tahun lalu bagi membolehkan TH bayar dividen atau hibah 2018.

Jadi, syarikat berkenaan kita tidak berjaya pindahkan kepada SPV kerana sekatan tertentu, contoh kalau ada Joint Venture yang babitkan pelbagai peringkat kelulusan seperti bank.

Jadi, saham yang berprestasi baik kita tidak pindahkan seperti PNB yang doing very well.

Saham yang membabitkan controlling state kami tidak pindahkan dan kami tidak mempunyai banyak masa dan terpaksa tutup akaun pada Disember tahun lalu.

Selepas kami membuat peruntukan RM1.5 bilion ini, aset ini sudah menjadi sihat kerana aset ini bermasalah dan kami berikan kepada SPV, tetapi oleh kerana kekangan yang kami ada, tidak boleh dilakukan.

Tidak mengapa, TH menyerapnya dan TH membuat rosot nilai RM1.5 bilion dalam akaun dan sudah merekodnya. Walaupun aset ini teruk, ia sudah sihat.

Kalau tidak disusun semula, bagaimana keadaan TH?

Kalau tiada SPV, maknanya TH tidak berupaya untuk membayar dividen untuk beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, jika tahun lalu tidak bayar dividen, kami sudah takut. Apatah lagi tahun ini kami tak bayar dividen, saya rasa orang ramai akan berpusu-pusu mengeluarkan deposit daripada TH dan jika itu berlaku, (TH mungkin) muflis dan itulah yang kami paling takut.

Sebab itu, kerajaan kata TH kena kerja kuat, perlu tutup defisit sebelum 31 Disember tahun lalu supaya kita boleh beri hibah walaupun kami bayar sedikit dahulu.

Apa manfaat diperoleh SPV melalui pemilikan aset tidak baik ini?

SPV adalah usaha kerajaan untuk menyelamatkan TH.

Kerajaan tidak mempunyai keupayaan kewangan besar dan daripada memberikan wang tunai RM10 bilion kepada TH, kerajaan menubuhkan SPV.

SPV adalah satu mekanisma untuk kerajaan membantu dan menyelamatkan TH dan pada masa sama, tidak membebankan kerajaan.

Ada yang memainkan isu CEO SPV itu adalah orang Cina. Mohon penjelasan.

Persoalannya adalah, aset yang kami pindahkan kepada SPV ini bukan hak TH lagi, ia menjadi hak SPV.

SPV pula adalah Urus Jemaah Harta Sdn Bhd (UJSB) dimiliki oleh kerajaan Malaysia dan 100 peratus orang Melayu menjadi Ahli Lembaga Pengarah.

Selepas itu, Prokhas hanya menguruskan sementara sahaja harta SPV dan dengan TH, Prokhas tiada hubungan lagi.

Contoh, saya mempunyai rumah dan mahu ke seberang laut setahun. Saya lantik seseorang untuk menguruskannya termasuk mengambil duit sewa, membayar duit api dan air, itu seumpama Prokhas.

Prokhas tidak boleh jual rumah saya dan hanya tolong menguruskannya dengan komisen tertentu sahaja.

Apakah jaminan daripada TH terhadap pendeposit supaya tidak mengeluarkan wang mereka?

Jaminan saya adalah, sebagaimana saya sebutkan tadi, TH bermula daripada tahun ini ke atas, insya-Allah sudah bertambah baik.

Kami berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH dan aset yang ada dalam TH ini adalah aset yang baik yang berjaya dipulihkan.

Yang tak berjaya kami sudah hantar kepada kerajaan dan kami terima bon daripada kerajaan, itu sahaja.

Jadi, apa yang kami ada di TH hari ini, semua aset yang baik seperti saham tadi, mana yang rugi lebih 20 peratus kami sudah hantar kepada SPV dan yang tinggal di TH sama ada kami untung atau jika rugi, kami cuma rugi sedikit sahaja.

Insya-Allah, bila pasaran saham naik nanti, sedikit pun, kami boleh pulihkan.

Hartanah pula, yang tiada hasil dan yang hasil kurang, kami sudah jual kepada SPV, jadi apa yang kami simpan di TH adalah aset yang mempunyai pulangan agak baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:01 AM