Suraya Roslan

“KAMI baru pulih daripada ‘demam’, jangan terlalu mengharap,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat berhubung pemberian hibah atau bonus bagi kewangan 2018.

Bagaimanapun, Zukri memberi jaminan TH mampu membayar hibah kepada 9.3 juta pendeposit agensi itu, tetapi berkemungkinan jumlah itu tidak besar.

“Pemindahan aset yang kurang baik, sebahagian besarnya adalah saham, kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dibentuk oleh Menteri Kewangan membolehkan kami menghasilkan dividen.

“Kami berjaya memulihkan kedudukan akaun kewangan TH, meletakkan kedudukan kami mampu membayar hibah untuk 2018. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kedudukan kewangan, don’t expect too much-lah (jangan mengharap terlalu banyak),” katanya.

Beliau ditemui dalam taklimat media berhubung pelbagai isu yang melanda agensi itu di Menara TH, Kuala Lumpur, hari ini.

ZUKRI ketika sidang media. FOTO Sairien Nafis
ZUKRI ketika sidang media. FOTO Sairien Nafis

Sebelum ini, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 4.50 peratus kepada pendeposit dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2017.

Bayaran hibah 2017 itu membabitkan pembayaran berjumlah RM2.7 bilion.

Bagaimanapun, pembayaran hibah TH itu mengundang kontroversi apabila laporan kedudukan kewangan TH 2017 mendapati agensi itu membayar hibah menggunakan simpanan pendeposit, bukan daripada keuntungan.

Katanya, beliau berharap tahun ini TH akan berada di kedudukan lebih baik terutama membabitkan kewangan.

“Bagi meningkatkan ketelusan, TH akan menyediakan laporan kewangan tiga bulan sekali supaya pendeposit kami mengetahui apa kami lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 2:03 PM