JENAZAH tiga pelajar disembahyangkan di SMK Lokman Hakim, Felda Lok Heng, semalam.
JENAZAH tiga pelajar disembahyangkan di SMK Lokman Hakim, Felda Lok Heng, semalam.
AHLI keluarga mengangkat jenazah mangsa ke liang lahad  untuk dikebumikan.
AHLI keluarga mengangkat jenazah mangsa ke liang lahad untuk dikebumikan.
Nurul Amanina Suhaini


“ADIK beriya-iya mahu membuat kek untuk sambutan ulang tahun perkahwinan ibu bapa hari ini (semalam), malangnya niat itu tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan,” ujar Muhamad Marhan Bastaman, 29.

Muhamad Marhan adalah abang kepada Muhamad Noriman, 17, salah seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim Felda Lok Heng yang maut dalam kemalangan di Simpang Felda Lok Heng, Jalan Kota Tinggi-Bandar Penawar, 6.30 petang kelmarin.

Dua mangsa lain yang maut dalam kejadian itu adalah Daing Muhammad Afeeq Mohd Ateeq-ur Rahman, 16 dan Muhammad Syafawi Zayadi, 17.

Ketiga-tiga mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng di sini, semalam.

Muhamad Marhan berkata Muhamad Noriman adalah anak bongsu daripada enam beradik.

JENAZAH tiga pelajar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng, Kota Tinggi.
JENAZAH tiga pelajar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng, Kota Tinggi.

Marhan berkata, kebelakangan ini adiknya terlalu manja dengan kedua orang tuanya sehingga mahu berjalan jauh bersama mereka ke Langkawi, minggu lalu.

“Dia (Noriman) terlalu seronok mahu meluangkan masa bersama bapa dan ibu. Sifatnya yang periang dan suka menyakat adik-beradik lain membuatkan kami terhibur dengan gelagatnya.

“Saya masih ingat cenderamata yang dibelinya di Langkawi untuk kakak sulung, Noraini, 34, hilang. Dia sanggup mencari satu rumah kerana tidak mahu kakaknya merajuk dan sentiasa ingat hadiah itu.

“Sepanjang perjalanan rombongan warga Felda Lok Heng menaiki bas ke Langkawi, dia tidak putus-putus menghantar gambar mereka bertiga. Senyumannya tidak henti setakat itu kerana dia turut memaklumkan ada kejutan untuk kedua orang tuanya apabila mereka pulang ke Johor,” katanya ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian tiga jenazah di tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng, di sini, semalam.

MUHAMAD Marhan menunjukkan gambar terakhir Muhamad Noriman bersama kedua ibu bapa.
MUHAMAD Marhan menunjukkan gambar terakhir Muhamad Noriman bersama kedua ibu bapa.

Muhamad Marhan berkata, Noriman yang mengambil subjek elektif Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dalam bidang masakan bercadang menyediakan kek sempena ulang tahun perkahwinan orang tuanya semalam.

“Ibu, Siti Roslina Minan, 52, ada memaklumkan terdetik rasa sayu kerana anak bongsunya itu berulang kali mencium dan memeluknya sebelum pergi ke sekolah, sejak Isnin lalu.

“Senyumannya terlalu sukar untuk dilupakan apatah lagi Noriman seorang adik yang jujur dan pemergiannya memberi kesan sangat mendalam kepada kami sekeluarga,” katanya.

Sebelum ini, Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Abdul Rani, berkata, kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Proton Wira.

Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang, seramai enam anggota digerakkan ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita berusia 24 tahun memandu Perodua Myvi dari Penawar ke Kota Tinggi. Manakala, guru wanita bersama tiga pelajar yang menaiki Proton Wira datang dari Semenchu ke Felda Lok Heng.

“Guru berusia 46 tahun cedera dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi. Bagaimanapun, seorang pelajar yang duduk di sebelah hadapan tersepit, manakala dua lagi pelajar tercampak keluar.

“Semua pelajar meninggal dunia dan disahkan Pegawai Perubatan yang hadir di lokasi, manakala, pemandu Perodua Myvi patah kaki dan semua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi,” katanya.

JENAZAH tiga pelajar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng, Kota Tinggi.
JENAZAH tiga pelajar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Lok Heng, Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 8:02 AM