SALMAN Saaban
SALMAN Saaban
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Populasi gajah di negeri ini kian terancam berikutan hanya antara 120 hingga 160 gajah direkodkan masih wujud di empat daerah membabitkan Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Kluang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, bilangan gajah yang makin berkurangan menyebabkan haiwan itu dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Ini bermakna tiada lesen pemburuan dikeluarkan dan segala aktiviti membabitkan spesies ini perlu kelulusan khas (permit khas) daripada menteri.

“Gajah terancam disebabkan kekurangan habitat yang sesuai untuk tinggal selain kekurangan sumber makanan di dalam hutan,” katanya.

Menurutnya, kekurangan sumber makanan menyebabkan gajah liar keluar mencari sumber makanan di pinggir hutan atau kawasan pertanian berhampiran.

Katanya, beberapa kawasan di Jemaluang, Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kota Tinggi-Kluang dan Mersing-Kluang sering menjadi lokasi konflik akibat kemunculan mamalia besar ini.

“Dianggarkan 20 hingga 30 gajah di Jemaluang yang menimbulkan konflik kepada penduduk Kampung Wak Salam, Felcra Sungai Ambat, Felda Gugusan Tenggaroh, Felda Nitar 1 dan 2, Lubuk Melikai dan Pekan Jemaluang.

“Sebanyak 30 hingga 40 gajah di Panti, Kota Tinggi menyebabkan konflik di Kampung Mawai, Lukut, Felda Bukit Waha, Felda Gugusan Lok Heng, Air Tawar dan Pasak,” katanya.

Manakala menurutnya, lima hingga 15 gajah di Labis, Segamat, menimbulkan konflik kepada penduduk Kampung Tenang, Bekok, Kampung Orang Asli dan Ladang Gunung Mas.

“Daerah Kota Tinggi-Kluang mencatatkan 25 hingga 30 gajah dan menimbulkan konflik di Felda Bukit Tongkat, Ulu Penggeli, Kahang Timur dan Ulu Dengar.

“Selain itu, kurang daripada 45 gajah direkodkan di Mersing-Kluang namun kumpulan gajah itu menimbulkan konflik kepada penduduk di Ladang Bukit Cantik, Ladang Mutiara, Ladang Enggang, Felda Endau, Kahang dan Sri Lukit” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:01 AM