BERNAMA

Johor Bahru: Seorang lagi mangsa kemalangan maut di Kilometer 26 Jalan Lok Heng-Mawai berhampiran sebuah kuari di Kota Tinggi pada Ahad lalu, yang dilaporkan cedera parah, disahkan meninggalkan dunia, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, Aleesya Nur Jasmin Abdullah, 5, meninggal dunia pada 11.30 malam di Hospital Sultan Ismail.

Katanya, mangsa tidak sedarkan diri sejak terbabit dalam kemalangan berkenaan.

"Jenazah dituntut ibu saudara untuk dikebumikan hari ini ini pada 9.30 pagi di Felda Lok Heng," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ibu mangsa, Norsuhadah Ramli, 30, yang turut kritikal akibat kemalangan sama, masih masih dirawat di hospital terbabit.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu mengorbankan adik tiri Aleesya, Muhammad Fakhri Aufa Muhamad Faidz, setahun, dan sepupunya Nur Natasya Nabiela Abdullah, 11.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Perodua Kancil dipandu Norsuhadah dari arah Kota Tinggi ke Felda Lok Heng, melanggar lubang di bahu kiri jalan menyebabkannya ia hilang kawalan dan terbabas ke ladang sawit, sebelum terbalik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:02 PM