Siti Aisyah akan pulang ke Indonesia hari ini. FOTO Bernama
Siti Aisyah akan pulang ke Indonesia hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

“SAYA sangat gembira dan tidak menyangka hari ini adalah hari pembebasan saya,” kata Siti Aisyah yang dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Bercakap pada sidang media di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur hari ini, Siti Aisyah, 27, dalam nada gembira turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Turut hadir Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana.

“Terima kasih kepada Presiden Indonesia Jokowi (Joko Widodo), menteri, kedutaan dan pemerintah di Malaysia kerana membebaskan saya,” katanya.

Ditanya apakah perkara pertama yang ingin dilakukan setelah pembebasannya, Siti Aisyah menjawab dia mahu bertemu dengan keluarganya.

Katanya, tiada kesukaran dihadapi sepanjang tempoh lebih setahun berada dalam penjara malah layanan pihak penjara terhadapnya juga baik selama ini.

“Saya sihat saja dan layanan penjara juga bagus malah banyak memberi saya sokongan moral,” katanya.

Sementara itu, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Yasonna H Laoly berkata, Siti Aisyah dibawa pulang ke Indonesia hari ini.

“Kami akan mengusahakan proses membawa pulang pada hari ini,” katanya.

Usaha membebaskan Siti Aisyah dilaporkan dibuat menerusi beberapa siri pertemuan termasuk antara Jokowi dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Bogor pada Ogos lalu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad menarik balik pertuduhan ke atas Siti Aisyah, warga Indonesia mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 pagi, 13 Februari 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Siti Aisyah dan Huong dituduh menyebabkan kematian Jong-nam dengan menyapu cecair beracun VX pada mukanya.

Kedua-duanya berkata, mereka melakukan perbuatan itu kerana beranggapan ia aksi usikan bagi program televisyen (prank).

Berita berkaitan

Siti Aisyah dilepas tanpa dibebaskan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 3:50 PM