ANTARA GRO yang ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang.
ANTARA GRO yang ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang.
Iskandar Shah Mohamed


KLANG: Seramai 14 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing terkedu apabila menerima ‘kunjungan’ pihak berkuasa yang menyerbu dua pusat hiburan di sekitar daerah ini, malam kelmarin.

Difahamkan, semua wanita warga Vietnam berusia 20 hingga 40 tahun itu memperoleh tip serendah RM50 menemani seorang pelanggan di premis itu.

Selain wanita terbabit tidak memiliki dokumen dan melanggar syarat pas lawatan sosial, kedua-dua premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, serbuan Op Noda bermula jam 11 malam itu dijalankan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai aktiviti tidak bermoral di pusat hiburan itu.

“Dalam serbuan pertama di Bandar Bukit Tinggi 1, kita menahan sembilan wanita Vietnam selain dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis.

“Polis kemudian menyerbu sebuah lagi premis di Taman Bayu Tinggi dan menahan lima lagi wanita warganegara sama dan seorang penjaga premis pada jam 12.05 tengah malam,” katanya.

PELANGGAN terkedu selepas pusat hiburan diserbu pihak berkuasa.
PELANGGAN terkedu selepas pusat hiburan diserbu pihak berkuasa.

Beliau berkata, operasi itu berjalan lancar dan semua yang ditahan tidak sempat melarikan diri.

“Dalam operasi selama dua jam itu, kita turut merampas peralatan seperti monitor, pembesar suara, amplifier, mikrofon dan wang tunai.

“Semua individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Khaizam berkata, pemeriksaan mendapati wanita terbabit melakukan kesalahan kerana tiada dokumen dan melanggar syarat pas lawatan sosial manakala penjaga premis menggaji pekerja asing tanpa permit.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 39 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 selain Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 7:30 AM