ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan D7 Selangor di sebuah restoran dan pub sekitar Bandar Puteri Puchong, Selangor, malam tadi. -Foto IHSAN PDRM
ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan D7 Selangor di sebuah restoran dan pub sekitar Bandar Puteri Puchong, Selangor, malam tadi. -Foto IHSAN PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 17 wanita ‘peneman’ warga Vietnam ditahan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas menggempur sebuah restoran dan pub Bandar Puteri Puchong, malam tadi.

Dalam serbuan bermula jam 10.40 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota D7 Selangor menyerbu dan memeriksa premis berkenaan sebelum menahan sekumpulan wanita yang dipercayai pelayan pelanggan.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata menerusi operasi itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan (penjaga premis), 17 wanita warga Vietnam (pelayan) dan tiga warga Myanmar (pekerja).

“Turut dirampas satu cakera keras (hard disk), dua mikrofon, satu alat pembesar suara, 13 botol minuman keras pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM3,550 sebagai bahan bukti siasatan.

“Pemeriksaan mendapati, premis berkenaan didapati menjalankan operasi perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Khaizam berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:49 AM