JODOH bukan keutamaan Wany buat masa ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
JODOH bukan keutamaan Wany buat masa ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Najiy Jefri

WANY Hasrita belum terfikir untuk memiliki teman hidup selepas melalui beberapa pengalaman dalam percintaan.

Bagaimanapun, Wany, 26, tidak akan menutup pintu hatinya cuma berserah kepada takdir Ilahi.

“Saya masih solo dan belum berpunya. Pintu hati saya belum ditutup atau nak ‘shut down’ selepas berdepan beberapa pengalaman hidup. Namun, pada satu tahap rasa seperti malas nak bercinta tetapi jika ada yang serius saya nak dia terus masuk meminang dan bertemu keluarga,” katanya.

Menurut Wany, dia tidak pernah cerewet dalam soal memilih teman hidup asalkan lelaki itu berjaya memenangi hati ibunya.

“Saya seorang yang ringkas. Selepas apa yang dilalui dalam hidup, saya kini memandang lelaki yang boleh mengambil hati ibu saya,” katanya.Memilih jejaka idaman barangkali satu perkara yang mudah, namun sebagai wanita dia juga perlu memperbaiki dirinya terlebih dulu.

“Saya berazam menjadikan diri lebih baik. Sebab sekecil-kecil perangai, kita perlu perbaikinya terlebih dulu jika mahu mendapatkan individu yang terbaik.

“Soal jodoh bukan keutamaan saya kerana fokus lebih pada kerjaya seni. Banyak lagi perkara yang ingin saya capai dalam hidup ini,” katanya.

Tak pandai berlakon

Melihat ramai penyanyi baru kini berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Wany belum terfikir ke arah itu.

Katanya, dia belum ada kekuatan untuk membintangi drama bersiri kerana tiada asas lakonan.

“Tidak dinafikan sebagai pendatang baru kita selalu nak mencuba pelbagai benda. Namun, saya perlu akur kerana tidak pandai berlakon.

“Jika diberi peluang mungkin watak yang kecil-kecil dulu. Lagipun, saya tak nak menyusahkan pengarah dan kru produksi nanti,” katanya.

Ditanya jika berlakon, siapakah hero gandingan yang menjadi dambaan hati, Wany berkata, dia teringin untuk bekerjasama dengan beberapa pelakon tersohor.

“Beto Kusyairy dan Remy Ishak antara pelakon yang saya ingin cuba berlakon bersama sebab sedar diri tiada pengalaman.

“Jadi apabila bekerja dengan orang sebegini saya mesti peroleh ilmu yang bernilai. Mereka ini antara pelakon yang hebat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wany bakal melancarkan single terbarunya berjudul Terlalu Memuja pada Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:01 AM