LANA ditemani suami Mohd Daud McKienzie bersyukur  apabila anaknya selamat menjalani pembedahan.
LANA ditemani suami Mohd Daud McKienzie bersyukur apabila anaknya selamat menjalani pembedahan.
Syanty Octavia Amry


ANAK kepada pelakon, Lana Nodin iaitu William Daud Mckienzie yang berusia dua bulan selamat menjalani pembedahan akibat masalah injap sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira jam 5 petang, hari ini.

Lana, 40, ketika dihubungi berkata, dia bersyukur apabila pembedahan prosedur ‘baloon valvuloplasty’ itu berjalan lancar.

“Apabila doktor keluar dari bilik pembedahan dan maklumkan anak saya selamat dan prosedur itu berjaya saya rasa sangat terharu dan menangis.

“Anak saya masuk ke bilik pembedahan pada jam 4.20 petang dan sejam kemudian pembedahan selesai. Menurut doktor, jika pembedahan kurang sejam, anak saya dalam keadaan baik dan jika lebih dari satu jam bermakna ada komplikasi,” katanya.

Lana berkata, doktor turut mengesahkan jantung anaknya dalam keadaan normal dan ini adalah satu keajaiban. “Syukur anak saya kuat jantungnya tidak ada apa-apa komplikasi dan tidak perlu buat pembedahan lain. Malam ini dia ditahan di ICU (Unit Rawatan Rapi) dan esok akan ke wad biasa. Semoga William cepat sihat dan boleh keluar hospital,” katanya.

WILLIAM ketika dimasukkan ke IJN, baru-baru ini.
WILLIAM ketika dimasukkan ke IJN, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Lana turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang berada di hospital dan terus mendoakan anaknya.

Katanya, dia sangat bersyukur apabila ramai rakan artis turut mendoakan dan sayang kepada William.

“Syukur kepada semua yang mendoakan anak saya. Tidak hanya kawan-kawan artis malah ada kawan-kawan yang berada di Makkah turut mendoakannya,” katanya.

Terdahulu, William dimasukkan ke ICU selepas jantungnya terhenti selama 10 minit sebelum prosedur pembedahan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 7:26 PM