LANA Nordin dan suami, Daud Mckienzie bergilir menjaga anak mereka, William di Institut Jantung Negara. FOTO Sudirman Mohd Tahir
LANA Nordin dan suami, Daud Mckienzie bergilir menjaga anak mereka, William di Institut Jantung Negara. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


"BILLY (William Daud Mckienzie) sudah buka mata dan boleh bernafas sendiri tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Cuma, dia masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU)," kata pelakon, Lana Nodin, 40, mengenai keadaan anak keduanya yang berusia dua bulan, William Daud Mckienzie yang selamat menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

William menjalani prosedur ‘baloon valvuloplasty’ akibat masalah injap sempit (aortic stenosis) sejak dilahirkan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodiin berkata, anaknya juga sudah boleh minum susu dan memberikan reaksi positif.

"Alhamdulillah, Billy memberikan maklum balas positif. Sejak semalam, saya sudah memberikannya susu badan meskipun menggunakan tiub. Dia juga sudah buang air besar.

"Insya-Allah, hari ini baru berjumpa doktor. Kalau semuanya okey, Billy akan dipindahkan ke wad biasa.

"Saya juga dimaklumkan jururawat bertugas, Billy sangat aktif. Kalau terjaga, dia nak ada orang berborak dengannya. Sebab, kebiasaannya saya memang suka ajak berborak dan dia akan ajuk semula," katanya.

ANAK sulung Lana, Gia Quinn McKienzie bersama adiknya, William. FOTO Ihsan Lana Nordin
ANAK sulung Lana, Gia Quinn McKienzie bersama adiknya, William. FOTO Ihsan Lana Nordin

Menurut Lana, anak sulungnya Gia Quinn McKienzie, tiga tahun sudah mulai merindui adiknya.

"Sejak Billy dimasukkan ke hospital, Gia tak pernah berjumpa adiknya. Saya memang tak bawa dia datang hospital.

"Setiap hari dia bertanya terutama kalau tengok katil adiknya. Semalam saya tunjuk gambar Billy ketika dalam ICU, Gia terus menangis. Dia cakap kasihan adik sebab sakit," katanya.

Katanya, dia merancang untuk mengadakan majlis doa kesyukuran dan aqiqah buat Billy bulan depan.

Lana sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat dan rakan artis yang tidak berhenti bertanya khabar selain mendoakan keselamatan anaknya.

"Saya terharu dengan sokongan dan doa orang ramai untuk Billy. Tidak menjangka dia begitu disayangi.

“Malah, saya pergi mana-mana pun termasuk ketika di plaza tol pun mereka bertanya mengenai keadaan Billy. Saya sangat bersyukur," katanya.

Berita berkaitan

'Syukur jantung anak tiada komplikasi'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 4:34 PM