SAMBUTAN hari jadi Gia dan Billy meriah.
SAMBUTAN hari jadi Gia dan Billy meriah.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


SELEPAS berdepan dugaan besar apabila anak bongsu, William Daud McKienzie atau Billy menghidap masalah injap jantung sempit (aortic stenosis) sejak dilahirkan, hari ini selebriti, Lana Nodin dan suami, Mohd Daud boleh tersenyum girang dan menarik nafas lega kerana Billy disahkan oleh doktor sudah sembuh.

Sebelum ini Billy menjalani prosedur ‘baloon valvuloplasty’ pada awal tahun lalu.

Ujian besar datang apabila hari pertama pembedahan mahu dilakukan Billy berdepan masalah sehingga menyebabkan jantungnya berhenti berdenyut seketika.

Bagaimanapun, dengan kepakaran dimiliki pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN), Billy dapat diselamatkan dan pembedahan dilakukan beberapa hari kemudian.

Kini Lana dan Daud mengesahkan Billy sudah sihat sepenuhnya dan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh doktor.

Ditemui pada majlis sambutan hari jadi dua cahaya matanya, Gia Quinn McKienzi, 4, dan Billy genap setahun, Sabtu lalu di Molly Fantasy My Town, Cheras, Kuala Lumpur, kata Lana, doktor menjelaskan masalah dihadapi Billy kini sembuh 90 peratus.

LANA bersama Daud pada majlis sambutan hari jadi Gia serta Billy. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
LANA bersama Daud pada majlis sambutan hari jadi Gia serta Billy. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman

“Apabila doktor kata sembuh 90 peratus ia membawa makna Billy sudah sembuh sepenuhnya.

“Cuma dalam berdepan dengan baki 10 peratus keadaan masalah saluran jantung Billy yang sempit itu, dia perlu dirujuk kepada doktor enam bulan sekali,” katanya.

Katanya, selepas menjalani prosedur ‘baloon valvuloplasty’ perkembangan Billy semakin positif hari demi hari.

Apa yang diperkatakan Lana itu jelas kelihatan apabila Billy dilihat girang bermain sepanjang majlis sambutan hari jadinya bersama Gia dan tidak sekalipun dia meragam atau menangis.

Kata Lana, disebabkan itu sambutan ulang tahun hari jadi buat Billy dan Gia sangat bermakna kepada dirinya serta suami.

“Peminat yang mengikuti Instagram saya pasti sedar sepanjang minggu sebelum sambutan hari jadi ini dibuat saya banyak memuat naik gambar dan kapsyen membabitkan dugaan dilalui Billy, saya juga suami.

“Saya berkongsi perkara ini kerana bangga kerana dalam usia masih kecil Billy sudah berdepan ujian besar.

“Bagaimanapun, dia sangat kuat berdepan dengan dugaan ini. Bayangkan dalam berdepan degupan jantung terhenti seketika, dia masih terus kuat dan berjuang,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan membabitkan anak, katanya, dia dan Daud akan meneruskan perancangan untuk menetap di Brunei Darussalam.

Katanya, dia sudah membuka pejabat di sana dan meneruskan perniagaan sabun yang diusahakan.

“Sewaktu mengembangkan perniagaan di sana Daud sukakan cara hidup masyarakat di sana. Brunei katanya tenang dan persekitarannya sangat sesuai untuk membesarkan anak.

“Seperkara lagi, kata Daud, sepanjang hidupnya dari kecil sampai sekarang dia selalu berada di tempat yang sibuk. Dari Amerika Syarikat, Singapura dan Kuala Lumpur. Jadi apabila dia lihat Brunei sangat tenang dia jadi suka.

“Saya sebagai isteri tidak membantah dan mengikut apa saja yang suami saya fikirkan baik untuk kami dan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:15 AM