LANA bersama anaknya di ICU IJN. -Foto Sudirman Mohd Tahir
LANA bersama anaknya di ICU IJN. -Foto Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


“SEMALAM sewaktu dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi), dia memberikan maklum balas ketika saya memanggil namanya. Saya lihat air matanya mengalir. Pagi tadi juga doktor maklumkan anak saya memberikan respon,” kata pelakon, Lana Nodin, 40, mengenai keadaan anak keduanya yang berusia dua bulan, William Daud Mckienzie yang kini ditempatkan di ICU, Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, sejak petang semalam.

William dimasukkan ke ICU selepas jantungnya terhenti selama 10 minit sebelum prosedur ‘baloon valvuloplasty’ akibat masalah injap sempit (aortic stenosis) dijalankan.

Lana ketika ditemui Harian Metro di IJN berkata, anaknya kini dalam keadaan stabil.

“Anak stabil, cuma dia masih dalam pemantauan doktor untuk tempoh 24 jam lagi. Doktor maklumkan esok mereka akan berbincang sama ada mahu teruskan pembedahan mengikut prosedur asal atau buat ‘open heart’. Itu pun berisiko. Selepas itu, baru kami buat keputusan mana yang terbaik.

“Buat masa sekarang, saya masih buntu dan sedang berbincang dengan suami. Saya sedih dan tak sanggup melihat keadaan anak. Dari semalam saya tidak tidur lena kerana memikirkan keadaannya,” katanya.

Lana berkata, sebagai ibu dia hanya mahu melihat anaknya sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain.

“Kalau nak doakan, doakan untuk anak saya. Saya berharap sangat dia boleh selamat dan seterusnya sembuh.

“Saya berdoa kepada Allah berilah saya dan suami peluang untuk membesarkannya,” katanya.

Menurut Lana, dia hampir pengsan apabila dimaklumkan suami, jantung anaknya terhenti selama 10 minit semalam.

“Saya terkejut dan menangis. Saya terus bertanya doktor bagaimana ia boleh berlaku. Saya juga tanya apa yang perlu dilakukan selepas ini.

“Sejak semalam saya tidak tenang. Saya juga tidak melihat telefon sebab takut jika ia panggilan dari ICU. Setiap kali telefon berbunyi, saya minta suami tengokkan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan anak Lana dimasukkan ke IJN sejak kelmarin dan sepatutnya menjalani pembedahan petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 2:39 PM