NUR Ar Risydah (tengah) bersama rakan sekelasnya pada Pertandingan Kaligrafi Cina 2019 di Sekolah Tinggi Chung Hua di Seremban.
NUR Ar Risydah (tengah) bersama rakan sekelasnya pada Pertandingan Kaligrafi Cina 2019 di Sekolah Tinggi Chung Hua di Seremban.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Seremban: Mula mempelajari bahasa Cina sejak dimasukkan ke tadika pada usia empat tahun membuatkan pelajar Melayu di Sekolah Tinggi Chung Hua di sini tidak kekok menulis kaligrafi Cina.

Malah, Nur Ar Risydah Aireen Adiba Mohd Yazid, 15, atau lebih dikenali dengan nama Ai Lin sejak tadika turut menyertai Kelab Tarian Singa di sekolah itu sejak dua tahun lalu dan aktif membuat persembahan.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, semua adik-beradiknya belajar di sekolah Cina kerana bapanya yang bekerja sendiri dan ibunya suri rumah mahu mereka mempelajari bahasa itu.

“Jadi sejak kecil saya terbiasa melihat adik-beradik lain bercakap sesama mereka dalam bahasa Cina. Jadi apabila bersekolah, saya juga berlatih cakap bahasa Cina dengan mereka.

“Tetapi di rumah, kami sesama adik-beradik berkomunikasi dalam bahasa Melayu bagi menghormati ibu dan ayah,” katanya ketika ditemui selepas Pertandingan Kaligrafi Cina 2019 dan Penyampaian Sumbangan di Sekolah Tinggi Chung Hua di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Nur Ar Risydah yang kini tinggal di Beranang, Selangor berkata, tidak susah menulis kaligrafi Cina jika menggunakan berus yang betul dan mendapat latihan sewajarnya.

Katanya, walaupun pada mulanya kekok, selepas setiap hari berlatih, dia kini mahir, malah meminati keunikan seni tulisan itu.

Mengenai penyertaannya dalam Kelab Tarian Singa, katanya, sejak kecil dia meminati tarian singa dan gembira apabila diberi peluang bermain alatan muzik dalam setiap persembahan yang diadakan.

“Selain membuat latihan kami mengadakan persembahan untuk majlis tertentu di sekolah atau rumah kenamaan yang menjemput kami,” kata peserta Kelab Tarian Singa ini.

Mula bergaul dengan kaum Cina seawal usia muda membuatkan gadis yang bercita-cita menjadi juruterbang itu selesa dikelilingi mereka sepanjang masa, malah mempunyai rakan baik Phun Yan Jun, 15.

Katanya, rakan sekelas yang lain juga tidak pernah menyisihkannya, tetapi melayannya dengan baik walaupun hanya dia satunya-satunya pelajar Melayu dalam kelas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 7:55 AM