Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Seni kebudayaan muzik dan tarian memupuk semangat perpaduan serta penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Itu dibuktikan dua beradik, Khairunnisa Adawiyah Kharil Johari, 14, dan Khairunnisa Afifah, 12, yang meraikan kepelbagaian budaya dengan mendalami persembahan muzik tarian singa kaum Cina.

Dua beradik itu adalah ahli kumpulan Yong Jun Lion Dance Bukit Beruntung yang aktif terbabit bermain alat muzik tarian singa bersama rakan berbangsa Cina, Melayu dan India.

Khairunnisa Adawiyah berkata, dia mula aktif terbabit dalam seni budaya itu sejak 2018 ketika di tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tangga.

Dia tidak menafikan kehidupan sehariannya yang dikelilingi rakan berbangsa Cina menjadikan dia berminat untuk menyertai kumpulan berkenaan.

KHAIRUNNISA Adawiyah (kiri)  dan  Khairunnisa Afifah (kanan) yang aktif menyertai pasukan tarian singa.
KHAIRUNNISA Adawiyah (kiri)  dan Khairunnisa Afifah (kanan) yang aktif menyertai pasukan tarian singa.

"Ketika itu persatuan datang ke sekolah sempena Tahun Baharu Cina dan saya rasa seronok serta berminat melihat persembahan mereka.

"Kebetulan mereka ada buka kelas di sekolah kami, jadi saya minta izin ibu ayah untuk sertai, malah bukan saya sahaja, adik juga dibenarkan ikut kelas sekali," katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, dia bermula dengan alat muzik yang dinamakan 'cha cha' sebelum 'luo' dan sekarang gendang manakala Khairunnisa Afifah pula bermain 'cha cha.'

"Sebenarnya memang agak sukar nak belajar sebab banyak langkah perlu diingati, tetapi sifu dan rakan banyak membantu. Masih banyak yang perlu saya belajar.

KUMPULAN Yong Jun Lion Dance Bukit Beruntung turut disertai kaum Melayu dan India. 
KUMPULAN Yong Jun Lion Dance Bukit Beruntung turut disertai kaum Melayu dan India. 

"Saya ada juga belajar tarian singa, tetapi masih belum mahir dan sekarang ini tumpu belajar gendang. Saya gembira dapat belajar seni budaya masyarakat Cina," katanya.

Bercerita lanjut, katanya, setakat ini dia menyertai lebih 10 persembahan dan pertandingan dan turut mengakui ramai yang terkejut melihat dirinya yang bertudung dan berbangsa Melayu memainkan alat muzik sinonim dengan budaya Cina.

"Bagi saya, tidak salah mendalami ilmu seni muzik tarian singa dan bukannya melakukan perbuatan yang menyalahi agama kerana muzik hanyalah satu bentuk kebudayaan. Saya memang minat seni.

"Malah, pesanan ibu bapa supaya berpegang kepada agama dan tidak melanggari batas juga sentiasa diingati.

"Seni kebudayaan ini mengajar saya erti toleransi dan kesepaduan berbilang kaum, malah ramai juga rakan berbangsa Cina saya meminati dan belajar seni budaya serta tarian Melayu," katanya.

KHAIRUNNISA Adawiyah berlatih menggunakan alat muzik untuk tarian singa.
KHAIRUNNISA Adawiyah berlatih menggunakan alat muzik untuk tarian singa.

Bapanya Kharil Johari Din, 44, berkata, dia terbuka dan menyokong minat dua anaknya selagi tidak melampui batas agama sekali gus mengajar mereka makna kehidupan majmuk.

"Sebelum ini ada juga kebimbangan mengenai sumber kulit gendang, tetapi sifu terangkan kepada kami dengan baik. Peranan ini memang bagus termasuk menjaga batas agama," katanya.

Sementara itu, jurulatih Yong Jun Lion Dance Bukit Beruntung Kobe Chan berkata, selain ahlinya berbangsa Cina, pasukannya juga disertai empat Melayu dan seorang India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:01 AM