MUFAIZAH miliki anak pelbagai peringkat usia.
MUFAIZAH miliki anak pelbagai peringkat usia.
Aniza Zainudin

“Aku ingin melihat kedudukan atau kerjaya anak, jauh lebih tinggi berbanding aku!

Ini luahan yang sering diutarakan ibu bapa, mengharapkan kejayaan anak pada masa depan.

Sesuai dengan peribahasa, ‘yang lebih dahulu makan garam’, pengalaman hidup diharungi ibu bapa membuka mata mereka untuk melihat atau menjangkakan sesuatu yang lebih jauh dalam merancang kehidupan anak.

Oleh itu, situasi kanak-kanak mahupun remaja sibuk memenuhi jadual akademik dan kokurikulum harian bukanlah sesuatu yang dihairankan.

Bukan hanya penekanan terhadap kecemerlangan dalam bidang akademik, jaringan pergaulan sosial turut diterapkan menerusi kelas atau bengkel kemahiran.

Bagi suri rumah, Mufaizah Mohamad, 44, ibu bapa memahami tanggungjawab digalas terutama dalam memberikan peluang kepada anak untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri sebagai jaminan pada masa depan.

“Saya memiliki empat cahaya mata yang sedang belajar di pelbagai peringkat termasuk matrikulasi hingga ke tadika. Tidak dinafikan jadual harian mereka turut diselitkan dengan kelas tambahan berbayar antaranya tuisyen, kelas hafazan serta memanah.

KELAS kemahiran buat anak lebih fokus.
KELAS kemahiran buat anak lebih fokus.

“Saya dan suami memutuskan menghantar anak mengikuti kelas tambahan dan kemahiran ini bertujuan memastikan prestasi pendidikan dan kokurikulum mereka seiring.

“Menerusi kelas tambahan juga, anak dapat memperbaiki subjek yang mungkin ketinggalan di sekolah. Selain mendapat ilmu melalui teknik pengajaran lebih efektif, kemahiran berfikir juga boleh diasah.

“Memahami tugasan berat ditanggung guru di sekolah, saya melihat tumpuan pengajar di kelas tuisyen lebih fokus terhadap prestasi anak,” katanya.

Menyentuh perihal kelas hafazan Mufaizah berkata, dalam mengejar kejayaan dunia, keberkatan akhirat turut ditekankan sepanjang proses pembesaran anak.

Mengajar sendiri anaknya mengaji al-Quran, wanita ini mengakui kelas al-Quran dan hafazan bertujuan membiasakan mereka dalam bidang hafazan.

 INGIN menyerlahkan potensi anak.
INGIN menyerlahkan potensi anak.

Katanya, anak lebih berdaya saing dan berkeyakinan untuk menyertai pelbagai pertandingan mahupun program termasuk hafazan yang dianjurkan pihak sekolah atau kementerian.

Mendaftarkan anak di kelas memanah, Mufaizah berkata, pemilihan kelas kemahiran dan aktiviti berdasarkan minat serta pilihan peribadi masing-masing yang dijangka memberi manfaat kepada mereka. Ibu bapa pula bertindak sebagai perangsang.

Jelasnya, latihan dan kemahiran memanah diibaratkan refleksi kepada anak untuk lebih fokus serta menetapkan sasaran berjaya dalam subjek lemah di sekolah.

Meskipun tampak padat, anak masih diberi ruang melakukan aktiviti digemari terutama ketika musim cuti persekolahan.

Berkongsi impak menghantar anak ke kelas tambahan dan kemahiran, Mufaizah mengakui anaknya pandai mengatur jadual persekolahan dengan baik walaupun aktiviti agak padat.

PENGORBANAN terubat melihat kejayaan anak.
PENGORBANAN terubat melihat kejayaan anak.

Baginya, apabila mereka berada di asrama, anak ini mampu menguruskan masa dan tekanan dengan baik.

“Walaupun kadangkala penat kerana terpaksa menghantar anak ke kelas di lokasi berbeza, pengorbanan itu seolah-olah berbayar apabila menyaksikan potensi ditunjukkan mereka.

“Tidak dinafikan kos bagi tujuan ini agak tinggi namun ia tidaklah terlalu membebankan bagi ibu bapa yang menginginkan kejayaan anak.

“Kami berpendapat wang ringgit boleh dicari, asalkan anak mendapat hak untuk menyerlahkan potensi diri masing-masing,” katanya yang kurang mengurangkan perbelanjaan tidak sepatutnya.

Sementara itu, guru, Hapsah Abdul Rahim, menghantar anak tunggalnya, Muhammad Hilmi Noah Azmi, mengikuti kelas muzik setiap minggu.

Bertujuan mengelak gejala sosial dalam kalangan remaja, ibu tunggal ini mengakui kelas kemahiran dikendalikan pakar dapat membantu anak yang berusia 17 tahun itu mempelajari teknik yang tepat.

HILMI pilih kelas muzik yang diminati.
HILMI pilih kelas muzik yang diminati.

“Melalui kelas seperti ini, anak dapat meluaskan jaringan sosial apabila bertemu rakan baru berbanding hanya teman di sekolah.

“Muzik dan gitar adalah hobinya, oleh itu kelas kemahiran ini dapat mengembangkan bakatnya. Insya-Allah, menerusi kemahiran ini dia dapat menjana pendapatan pada masa depan.

“Mengenai kos yuran, ia tidak terlalu membebankan. Bagi memastikan anak dapat mengikuti kelas kemahiran diminati, ibu bapa boleh mengambil inisiatif mencari kelas berpatutan dengan pendapatan mereka,” jelasnya.

HAPSAH ingin meluaskan jaringan sosial anaknya.
HAPSAH ingin meluaskan jaringan sosial anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 2:25 PM