ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki dengan 10 kesan tikaman di Taman Bandar Baru. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki dengan 10 kesan tikaman di Taman Bandar Baru. FOTO ihsan pembaca
Nor Farhani Che Ad

“SAYA tergamam apabila melihat mayat berlumuran darah sebelum terus menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian itu,” kata saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Zam selepas menemui mayat lelaki dengan kesan tikaman di dalam kereta di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, hari ini.

Mangsa, A Muniandy, 41, ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah di badan selepas ditikam, 4 pagi di dalam kereta putih yang berhenti di bahu jalan.

Zam berkata, ketika kejadian itu, dia sedang membuat rondaan di sekitar taman terbabit sebelum berasa pelik melihat kereta itu diletak di tepi jalan dalam keadaan enjin masih hidup dan lampu terbuka.

Menurutnya, dia kemudian menghampiri kereta itu namun terkejut apabila mendapati seorang lelaki dalam keadaan kepala terbaring di bahagian tempat pemandu dengan berlumuran darah.

Katanya, dia terus menghubungi Balai Polis Bedong bagi memaklumkan kejadian itu.

Difahamkan mangsa yang bekerja di Singapura baru pulang ke sini tiga hari lalu untuk membuat persiapan persekolahan lima orang anaknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati mangsa baru pulang dari Singapura sebelum ditemui mati ditikam.

Menurutnya, siasatan mendapati terdapat 10 kesan tikaman di leher, pipi kanan, tangan kiri dan tangan kanan.

“Soal siasat dengan isterinya mendapati mangsa menghadapi masalah kewangan yang teruk apabila menanggung beban hutang banyak.

“Siasatan awal kita tidak menolak hutang kemungkinan menjadi punca mangsa dibunuh namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4.15 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat mayat lelaki dalam keadaan terbaring di bahagian hadapan pemandu.

“Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian badan dan leher mangsa,” katanya.

Sazalee , mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 2:55 PM