GUNUNG berapi yang dikenal Anak Krakatoa. FOTO Agensi
GUNUNG berapi yang dikenal Anak Krakatoa. FOTO Agensi
AFP

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 20 maut manakala ratusan cedera dalam bencana tsunami di Indonesia yang berkemungkinan dicetuskan gunung berapi dikenali Anak Krakatoa, menurut pegawai hari ini.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, puluhan bangunan musnah akibat gelombang dahsyat yang melanda pantai-pantai di Selatan Sumatera dan hujung barat Jawa pada jam 9.30 malam waktu tempatan.

“20 orang maut dan 165 cedera sementara dua masih hilang di tiga wilayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa menyatakan tsunami mungkin juga dicetuskan gelombang air pasang surut tidak normal dan tanah runtuh bawah air susulan letusan gunung berapi Anak Krakatoa.

Bagaimanapun, Nugroho menambah Agensi Geologi Indonesia akan menyiasat punca sebenar bencana terbabit.

Anak Krakatoa, sebuah gunung berapi kecil yang muncul dari laut pada setengah abad lalu selepas letusan dahsyat Krakatoa pada 1883 adalah salah satu daripada 127 gunung berapi masih aktif di Indonesia.

Lagi berita berkaitan Tragedi Tsunami Sunda

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 9:04 AM