Farah Suhaidah Othman


HUJAN renyai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari Hilir di Ipoh seolah-olah turut ‘menangisi’ pemergian lima sahabat yang terkorban dalam tragedi menyayat hati kejadian letupan dan kebakaran premis perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, Ipoh, semalam.

Jenazah lima sekawan iaitu Ahmad Faizal Aminuddin, 16, Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15, Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohd Kamari, 16, dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan pada jam 8 malam, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah kelima-lima sahabat itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menaiki lima van berasingan dengan diiringi wakil keluarga masing-masing pada jam 6.15 petang.

Semua jenazah tiba di Masjid Idrisiah, Kampung Kuala Pari kira-kira 20 minit kemudian untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan untuk disemadikan selepas jemaah selesai menunaikan solat Maghrib.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi urusan pengebumian itu yang dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan rakan terdekat bagi memberi penghormatan terakhir terhadap kelima-lima jenazah mangsa.

Turut hadir pada upacara berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitat negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam kejadian pada jam 1.54 tengah hari semalam, enam terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran premis rumah kedai yang menjalankan perniagaan pengaturcara majlis.

Kejadian itu turut mengorbankan lima sahabat terbabit yang juga bekerja sambilan di premis berkenaan dan seorang majikan yang dikenali sebagai P Thiagarajan, 40.

Mayat Thiagarajan dituntut oleh ahli keluarga pada jam 6.10 petang tadi dan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Taman Buntong Jaya.

Mendiang dijangka akan disemadikan esok di Krematorium Buntong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:38 PM
Jenazah mangsa kebakaran unit rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Jenazah mangsa kebakaran unit rumah kedai dua tingkat di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof