Nur Izzati Mohamad


SUAMI isteri bertindak nekad menahan seorang penyamun yang memecah masuk rumah mereka di Sungai Lokan, Butterworth, Isnin lalu.

Pada kejadian 3.15 petang itu, pasangan terbabit berjaya memberkas suspek berusia 26 tahun sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian, pasangan itu pulang dari kerja sebelum mendapati tingkap rumah dalam keadaan terbuka.

“Mereka melihat seorang lelaki keluar dari pintu belakang rumah lalu menyebabkan berlaku pergelutan antara suami dengan suspek.

“Akibat dari pergelutan itu, lelaki itu mendapat kecederaan di bahagian muka dan pergelangan tangan kiri

“Bagaimanapun, suami isteri itu berjaya memberkas suspek di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa terus menghubungi pihak berkuasa sebelum polis memberkas semula suspek.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan umpil pada pintu besi bahagian belakang rumah dan stor simpanan barang.

“Polis turut merampas pelbagai barang termasuk telefon bimbit dan kamera dipercayai hasil aktiviti jenayah suspek.

“Kita turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek. Polis percaya ia motosikal curi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 5:29 PM