ANGGOTA polis menahan lelaki yang cuba merompak sebuah bank bersenjatakan parang panjang di Tanah Merah, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA polis menahan lelaki yang cuba merompak sebuah bank bersenjatakan parang panjang di Tanah Merah, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Rosliza Mohamed


CUBAAN seorang lelaki bersenjatakan parang panjang untuk merompak sebuah bank di bandar Tanah Merah, gagal selepas ditahan, hari ini.

Lelaki berusia 27 tahun yang memakai topi keledar dan menutup muka itu ditahan pada 3.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian lelaki itu masuk ke bank dengan membawa sebilah parang panjang.

Suspek tiba-tiba bertindak melompat ke kaunter sebelum berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan serta beberapa kakitangan bank.

Pada masa sama, kakitangan bank menghubungi polis, yang datang dalam masa lima minit kemudian lalu menangkap lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan tangkapan segera dilakukan terhadap suspek.

Katanya, polis menahan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan rompakan.

"Kita turut merampas sebilah parang sepanjang 0.6 meter dan siasatan lanjut masih dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 6:07 PM