KUMPULAN UNIC dari kiri, Fakhrul, Bazli, Najdi. FOTO Mahzir Mat Isa
KUMPULAN UNIC dari kiri, Fakhrul, Bazli, Najdi. FOTO Mahzir Mat Isa
Amirul Haswendy Ashari


TEMPOH 17 tahun bukan satu masa yang singkat. Dalam tempoh itu, kumpulan nasyid popular UNIC terus bertahan walaupun anggotanya bersilih ganti.

UNIC yang kini dianggotai Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd Noh bakal meraikan ulang tahun ke-17 pembabitan UNIC dalam industri muzik melalui konsert #UNICsweet17 pada 7 Disember depan.

Bercakap mengenai konsert yang diberi nama Konsert Ainul Mardiah itu, Bazli berkata, selain meraikan ulang tahun ke-17 UNIC, ia juga sempena sambutan Maulidur Rasul, baru-baru ini.

“Kami pilih nama Ainul Mardiah kerana sudah banyak nama konsert sempena Maulidur Rasul contohnya Malam Cinta Rasul atau Cinta Nabi. Ia juga sempena kemenangan UNIC di Gema Gegar Vaganza (GGV) tahun lalu,” katanya.

Bazli berkata, mereka sudah mengumpul semula gelombang itu apatah lagi lagu mereka banyak ‘trending’ di saluran muzik dalam talian.

UNIC juga dikenali remaja ketika ini selain peminat yang membesar bersama sejak 17 tahun lalu.

“Kami akan membawa 15 hingga 17 lagu antaranya Ainul Mardiah, Zinnirah, Hanya Tuhan Yang Tahu dan banyak lagi yang popular sejak 2002 sehingga kini.

“Ada lagu akan dibawa secara medley dan dengan susunan muzik baru. Kelebihan konsert adalah menampilkan pemuzik terdiri daripada pelajar Fakulti Muzik UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris),” katanya.

Ditanya mengenai keberanian UNIC mengadakan konsert, Bazli berkata, mereka melakukannya kerana setiap penyanyi solo atau berkumpulan mengimpikan sebuah konsert sendiri kerana ia menjadi pengukur selain menambah profil sedia ada.

“Kami berasakan inilah masa sesuai sebab sudah matang. Kami buat pada 2018 sebab tidak mahu ketinggalan, apatah lagi gelombang GGV lalu, ditambah pula masih laku dalam pasaran.

“Keunikan konsert ini ialah selain menyanyi secara langsung (live), pencahayaan, kostum dan video LED akan merancakkan suasana malam itu,” katanya.

Konsert Ainul Mardiah akan dipecahkan kepada empat segmen iaitu segmen pembukaan, cinta, akustik dan finale yang diolah dengan kostum, pencahayaan serta susunan muzik segar.

Selain itu, konsert ini juga akan diisi dengan pementasan teater dan lakonan untuk anak autisme.

“Tiket jualan akan disumbangkan kepada Pusat Tahfiz Yayasan Fakeh yang menempatkan pelajar tahfiz autisme, Persatuan Anak-Anak Kanser dan Persatuan Kebajikan Pelajar UPSI,” katanya.

Dalam pada itu, UNIC juga gembira kerana tiket konsert Platinum (RM150), Gold (RM100) dan Silver (RM50) sudah banyak terjual sejak beberapa minggu lalu.

Konsert Ainul Mardiah akan berlangsung di Dewan Besar UPSI, Tanjung Malim bermula jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 5:30 AM