KONSERT Ainul Mardiah dihadiri hampir 3,000 penonton dari dalam dan luar negara. FOTO UNIC
KONSERT Ainul Mardiah dihadiri hampir 3,000 penonton dari dalam dan luar negara. FOTO UNIC
Amirul Haswendy Ashari

Biarpun cuaca mendung dan hujan renyai sepanjang hari sehingga malam konsert, kumpulan UNIC gembira dengan sambutan daripada peminat pada malam Konsert Ainul Mardiah di Dewan Tunku Canselor, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 7 Disember lalu.

Ketua kumpulan, Bazli Hazwan berkata, hampir 3,000 peminat dari dalam dan luar negara memenuhi dewan berkapasiti 3,500 orang itu.

“Dewan itu boleh muat 3,000 ke 3,500 orang dan ketika atas pentas, kami dapat lihat penonton yang hadir lebih tiga suku dewan.

“Kami sempat beramah mesra dengan peminat yang datang dari Grik (Perak), Johor, Kelantan, malah ada yang datang dari Singapura dan Brunei,” katanya.

Tanpa berselindung, sambutan hangat itu membuatkan UNIC sangat terharu dan menyifatkan penonton yang hadir adalah peminat yang sangat berkualiti kerana sanggup berkorban dan serta wang menyaksikan konsert julung kali diadakan UNIC.

Bazli berkata, lebih membuatkan UNIC terharu adalah kebanyakan mereka turut memberi sumbangan untuk disalurkan ke badan amal yang dijemput pada malam itu antaranya HKL Kids, Pusat Tahfiz Anak-Anak Autism Yayasan Fakeh dan Unit Kebajikan Hal Ehwal Pelajar UPSI.

Malah, UNIC sendiri menyerahkan RM1,500 kepada penerima sumbangan sebagai tanda sokongan kepada mereka.

UNIC akui perasaan mereka pada awal agak berbelah bahagi tanpa meletak harapan tinggi apatah lagi dengan isu kontroversi melanda mereka bersama bekas ahli UNIC, Fitri Haris, minggu lalu.

“Awalnya kami tidak letak harapan terlalu tinggi dengan adanya isu kontroversi minggu lalu ditambah dengan persiapan serta masa, selain kesihatan yang sedikit mengganggu ahli lain terutama Fakhrul.

“Kiranya, sebelum konsert kami tidak senang hati, malah tak senang duduk selagi tidak melihat sendiri sambutan malam itu,” kata Bazli.

Namun, UNIC akui sebaik saja tirai konsert dibuka, sambutan diterima di luar jangkaan.

Konsert yang sepatutnya bermula jam 8 malam hanya bermula sejam kemudian. Menerusi segmen pembukaan, UNIC me­nyampaikan lagu Jalinan, Bertemu Semula, Kawan dan Seiring Sehaluan.

“Pada segmen ini, terutama ketika menyanyikan lagu Kawan dan Seiring Sehaluan, suara peminat turut bergema menyanyi bersama-sama kami.

“Kami turut ‘menari’ ala Westlife ketika menyampaikan lagu Jalinan dan Kawan yang mendapat reaksi positif daripada peminat,” kata Bazli lagi.

ANTARA aksi menarik sepanjang konsert UNIC pada Jumaat lalu. FOTO UNIC
ANTARA aksi menarik sepanjang konsert UNIC pada Jumaat lalu. FOTO UNIC

Katanya, rata-rata peminat melihat segmen ini sebagai imbauan kepada kenangan bergelar pelajar kolej atau sekolah menengah ketika lagu itu pernah popular suatu ketika dulu.

Pada segmen kedua pula yang dikenali sebagai segmen Cinta, UNIC menyampaikan lagu medley CUDIPT dan Remaja.

Kemudian diikuti lagu Hanya Tuhan Yang Tahu, Insan Bernama Kekasih dan Demi Cinta Suci.

Bagaimanapun, ketika segmen ketiga yakni segmen Akustik, air mata peminat tertumpah ketika UNIC mendendangkan lagu Bintang Syurga.

“Peminat yang datang bertemu kami pada sesi autograf selepas konsert mendedahkan mereka sangat terkesan dengan lagu dalam segmen itu yang disifatkan sangat menyentuh perasaan,” kata Bazli.

Selain lagu Bintang Syurga, lagu lain yang turut didendangkan adalah Atas Nama Cinta, Sedar dan Deen As Salam.

Segmen keempat pula dikenali sebagai segmen Serikandi kerana UNIC menyampaikan tiga lagu yang bercerita mengenai kehebatan serikandi Islam yakni lagu Balqis, Aisyah Humaira dan lagu terbaru mereka, Zinnirah.

“Kami hanya ada masa tiga minit saja untuk menukar pakaian sebelum memasuki setiap segmen.

“Dalam tempoh itu, kami menayangkan beberapa video pendek mengenai sejarah UNIC, selain video kesedaran Autism dan kanser,” kata Bazli.

UNIC tampil unik dengan pakaian berbeza pada setiap segmen. FOTO UNIC
UNIC tampil unik dengan pakaian berbeza pada setiap segmen. FOTO UNIC

Lebih 2,000 keluarga mahu hadir kerana Ainul Mardiah

Beberapa hari sebelum konsert bermula, UNIC ada memuat naik pengumuman kepada peminat mereka di laman sosial rasmi UNIC.

Pengumuman itu adalah insan bernama Ainul Mardiah dan ahli keluarganya berpeluang menonton konsert mereka secara percuma.

“Selepas memuat naik pengumuman itu, kami mendapat lebih 2,000 komen yang menyatakan hasrat mahu datang sebab ada ahli keluarga mereka mempunyai insan bernama Ainul Mardiah.

“Sehinggakan aplikasi WhatsApp yang digunakan untuk berhubung dengan mereka ‘crash’ dan tergantung kerana terlalu ramai yang menghantar permohonan,” kata Bazli.

Katanya, ada keluarga yang terpilih meluahkan rasa puas hati, malah terkejut kerana tidak pernah menonton konsert seumur hidup mereka.

Malah, masih ada permintaan daripada peminat yang bertanya mengenai tiket konsert walaupun konsert itu sudah pun melabuhkan tirai tiga hari lalu.

Melihat pada sambutan menggalakkan, UNIC tidak menolak kemungkinan untuk muncul dengan sebuah lagi konsert pada 2020.

Lokasi yang menjadi pilihan adalah di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

UNIC bersama barisan tulang belakang menjayakan Konsert Ainul Mardiah 2018. FOTO UNIC
UNIC bersama barisan tulang belakang menjayakan Konsert Ainul Mardiah 2018. FOTO UNIC

“Doa-doakan semoga impian 2020 itu menjadi kenyataan. Malah, sebagai perancangan ke arah itu kami sudah mula fikirkan konsep baru pada tahun depan.

“UNIC akan mengetengahkan konsep bersukan apabila kami akan fokus pada aktiviti sukan di sekolah, pusat pengajian tinggi, masjid dan kampung yang mahu menyertai aktiviti sukan terutama bola sepak,” kata mereka.

Buat permulaan, mereka mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab sukan pihak itu bagi memeriahkan konsep UNIC 2019.

Selain itu, UNIC juga merancang mengangkat kumpulan itu ke arah korporat supaya dapat pergi lebih jauh pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:00 AM