MARKAS pengikut ajaran Syiah yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor, baru-baru ini (Gambar Hiasan). FOTO Arkib NSTP
MARKAS pengikut ajaran Syiah yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor, baru-baru ini (Gambar Hiasan). FOTO Arkib NSTP
Ibrahim Isa


JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) merekodkan 54 individu, termasuk rakyat negara asing yang mengamalkan fahaman Syiah di Johor, tahun ini.

Ia berdasarkan rekod tangkapan dijalankan JAINJ sepanjang tahun ini dan jumlah itu meningkat berbanding hanya 30 pengikut fahaman Syiah yang ditahan tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah JAINJ, Halid Sono berkata, sehingga kini, gerakan pengikut fahaman Syiah di Johor masih terkawal kerana pihaknya sentiasa memantau pergerakan mereka.

Katanya, JAINJ turut bekerjasama dengan agensi kerajaan lain, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras gerakan kumpulan itu.

“Kami dapati, semua aktiviti dilakukan di bandar raya ini dengan pengikut sanggup datang dari Mersing untuk pertemuan yang diadakan.

“Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama erat PDRM untuk sama-sama memantau dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di Johor Bahru, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai gerakan kumpulan itu, Halid berkata, kumpulan itu diketuai lelaki tempatan yang terpelajar dan pernah melanjutkan pengajian ke Iran sebelum ini.

Menurutnya, lelaki berusia 40-an tahun itu pernah ditahan sebelum ini kerana melakukan kesalahan sama, namun kesnya masih dalam proses mahkamah.

“Pemilihan ketua mengikut tahap ilmu dimiliki seseorang itu dan bukannya dari mana asal-usul individu berkenaan.

“Ia jelas apabila rakyat Malaysia masih dianggap ketua sedangkan masih ada seorang pengikut dari Yaman yang dipercayai mengamalkan ajaran Syiah sejak dilahirkan lagi.

“Kami masih menjalankan siasatan, namun percaya lelaki yang pernah melanjutkan pengajian ke Iran itu mempunyai ilmu yang agak tinggi hingga diangkat sebagai ketua di Johor,” katanya.

Beliau berkata, ketua kumpulan itu sudah dua kali ditahan JAINJ dengan tangkapan pertama dalam serbuan pada 2017.

Katanya, ketika ditahan dalam Operasi Hauzah di Taman Bukit Kempas di Johor Bahru, 9 September lalu, lelaki berkenaan tidak mengaku mengamalkan ajaran Syiah meskipun pengikutnya memberikan jawapan berbeza.

“Lelaki itu juga enggan menjawab soalan apabila ditanya sama ada mengamalkan ajaran fahaman Syiah, sebaliknya hanya menjawab sebagai seorang Muslim.

“Ini berbeza dengan sikap warga Yaman yang ditahan ketika itu apabila mengaku Syiah dan sanggup berdepan tindakan negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:47 PM