ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam mesin memproses kertas. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam mesin memproses kertas. FOTO Ihsan Bomba
Nur Izzati Mohamad


LELAKI yang sedang menyelenggara mesin memproses kertas, maut selepas tersepit di dalam mesin itu dalam kejadian di sebuah kilang dekat Simpang Ampat, Nibong Tebal, 5.15 pagi hari ini.

Mangsa, Tan Hong Seng, 52, dari Padang Lalang, dekat sini maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai keselamatan kilang itu 5.30 pagi memaklumkan mengenai kejadian terbabit.

“Pemeriksaan dijalankan polis mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat kepalanya tersepit pada mesin memproses kertas berkenaan.

“Menurut keterangan daripada rakan sekerja mangsa, kejadian itu berlaku ketika mangsa membuka plat besi sebelum tiba-tiba mesin itu berjalan secara automatik,” katanya.

Shafee berkata, polis kemudian meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap untuk operasi mengeluarkan mayat mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:48 PM